Pemuda PSM: Segera mansuh pinjaman PTPTN
Pergerakan Pemuda Sosialis, Parti Sosialis Malaysia menuntut kerajaan supaya segera memansuhkan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) demi memberikan pendidikan percuma kepada pelajar.
Setiausaha pergerakan itu M Ravindran berkata langkah itu perlu diambil kerajaan dengan mencontohi negara seperti Venezuela, Cuba dan Argentina yang memberi pendidikan percuma kepada sehingga peringkat universiti.
"Selain itu, kebanyakan Negara-negara Eropah seperti Sweden, Finland dan banyak negara lagi mampu menduduki tangga teratas di dunia dengan memberikan pendidikan yang berkualiti kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memberi alasan bahawa negara mampu berbuat demikian memandangkan Malaysia "memperoleh keuntungan tidak terhingga daripada pelbagai sektor."
"Keuntungan yang diperolehi dari Petronas dan hasil kutipan cukai pendapatan dari korporat dan kapitalis gergasi patut disalurkan dalam sistem pendidikan kita, tetapi itu tidak berlaku," katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan Pemuda Sosialis ke atas perhimpunan anjuran pergerakan pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia yang akan diadakan pada 14 April untuk memansuhkan pinjaman tersebut.
"Kita percaya bahawa pendidikan merupakan hak asasi setiap insan dan tidak harus diperniagakan. PTPTN merupakan satu beban yang sangat besar kepada mahasiswa apabila mereka menamatkan pengajian mereka.
"Kami Pemuda Sosialis menyarankan agar PTPTN dimansuhkan secara segera dan mengimplimentasikan pendidikan percuma kepada semua.
"Kita berharap agar usaha-usaha seperti ini akan berlanjutan sehingga anak-anak muda mendapat hak mereka," katanya lagi.
Perhimpunan yang dirancang Solidariti Mahasiswa, dengan sokongan PAS, dijangka akan menarik penyertaan 5,000 mahasiswa dan 'mangsa' hutang pinjaman PTPTN.

