Sekumpulan mahasiswa hari ini menyatakan kesangsian berhubung "arahan mengejut" yang dikeluarkan ke atas penduduk pangsapuri PKNS Kampung Kerinchi untuk mengosongkan perumahan berkenaan.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Muhammad Safwan Anang berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan yang hanya memberikan masa seminggu kepada penduduk seramai 34 keluarga itu tidak memadai untuk mereka mengurus pemindahan.

"Apakah tidak munasabah untuk menangguhkan arahan pemindahan dalam tempoh hingga Julai sebagai jalan budi bicara?

"Dalam masa penduduk menguruskan urusan pemindahan rumah, persekolahan anak-anak dan lain-lain," katanya.

Penghuni berkenaan sepatutnya mengosongkan bangunan itu pada jam 9.30 pagi tadi tetapi masih terdapat 34 penduduk gagal melakukannya dan membantah arahan itu.

Kumpulan penduduk itu, diketuai Ahli Jawatankuasa Bertindak Kampung Kerinchi, Mohd Idrus Tokiran turut berhimpun di hadapan bangunan pangsapuri berkenaan untuk menyatakan bantahan.

Dalam perhimpunan tersebut, kumpulan itu turut ditemui oleh Penolong Pegawai Tanah di Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTG), Mohd Salleh Sadri yang hadir untuk membuat tinjauan.

Wakil penduduk berkenaan kemudiannya mengadakan rundingan dengan Mohd Salleh untuk memberikan tempoh sehingga 1 Julai untuk berpindah.

Dalam rundingan yang turut dihadiri ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar itu, Mohd Salleh bagaimanapun diperhatikan tidak memberikan apa-apa jaminan atau kata putus kepada penduduk berkenaan.

Beliau yang ditemui Malaysiakini selepas itu juga sekadar mengulangi bahawa jabatan itu hanya memberikan tempoh seminggu lagi kepada penduduk berkenaan untuk berpindah.

Dalam pada itu, seramai kira-kira 70 orang mewakili penduduk yang lain turut berhimpun di satu lokai berdekatan untuk mendesak kuyang telah berpindah membuat provokasi bagi mendesak 34 keluarga itu supaya berpindah.

Kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang antaranya bertulis "Jangan jadikan tuntutan anda yang tidak relevan menjadi bebanan kepada generasi masa depan yang dahagakan pembangunan."