Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sebelas hakim angkat sumpah jawatan dan taat setia
Diterbitkan:  Apr 4, 2012 5:31 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Empat hakim Makamah Persekutuan, dua hakim Mahkamah Rayuan dan lima hakim Mahkamah Tinggi hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di Istana Kehakiman di Putrajaya.

    

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria serta para hakim mahkamah persekutuan dan rayuan.

    

Empat hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan ialah Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Zainun Ali, Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

    

Hakim Zaleha, 63, dari Kajang, Selangor, dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan sejak 2005 dan pernah memegang jawatan sebagai penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan.

    

Hakim Zainun, 60, yang berlulusan undang-undang daripada Universiti Malaya, pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 1994 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2006.

    

Hakim Sulong, 65, dari Saratok, Sarawak, yang pernah bertugas sebagai pegawai daerah Bintulu pada 1971 dan pengurus besar Lembaga Pembangunan Bintulu (1980), dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2000.

    

Tan, 63, pula pernah menjadi pengerusi Badan Peguam Negeri Perak pada 1992, Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994 sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2009.

    

Di majlis yang sama, dua hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Lim Yee Lan turut mengangkat sumpah masing-masing sebagi hakim Mahkamah Rayuan.

    

Abdul Aziz, 62, yang berasal dari Kuantan, Pahang, memulakan kerjayanya sebagai pegawai tadbir awam pada 1972 sebelum menyandang jawatan peguam kanan Persekutuan pada 1997 dan berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak 2009.

    

Lim, 60, berasal dari Johor Bahru, Johor pula pernah memegang jawatan peguam cara perbendaharaan pada 2001 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2005.

    

Sementara itu, pesuruhjaya-pesuruhjaya kehakiman Datuk Hasnah Mohamed Hashim, Harmindar Singh Dhaliwal, Hadhariah Syed Ismail, Supang Lian dan Stephen Chung Hian Guan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS