JIM: Kaji semula perlaksanaan PLKN
Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) bimbang dengan aspek keselamatan di semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berikutan berlakunya beberapa kejadian pergaduhan yang membabitkan peserta program berkenaan.
Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM) bimbang dengan aspek keselamatan di semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) berikutan berlakunya beberapa kejadian pergaduhan yang membabitkan peserta program berkenaan.
Di samping itu, JIM juga menerima aduan yang turut membabitkan aspek keselamatan peserta wanita di mana ada antara mereka yang terpaksa berkongsi dewan penginapan dengan pelatih lelaki yang hanya dipisahkan oleh penghadang papan lapis.
"Ini memungkinkan pelatih lelaki 'menjenguk' pelatih wanita. Aduan ini diterima dari pelatih PLKN yang ditempatkan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Sarawak," kata Presiden JIM, Zaid Kamaruddin dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, IPTS itu terpaksa digunakan sebagai gantian setelah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang sepatutnya menerima pelatih PLKN, menarik diri di saat-saat akhir kerana tidak bersedia.
Zaid berkata laporan dalam beberapa akhbar harian mengenai beberapa pergaduhan yang membabitkan pelatih PLKN amatlah membimbangkan sehingga menimbulkan kekhuatiran di kalangan ibu bapa mereka.
"Terkini ialah pergaduhan di kampus UiTM Dungun pada 28 Mac lalu dan di Sri Iskandar pada 31 Mac, sepertimana yang dilaporkan oleh Berita Harian . Beberapa kejadian pergaduhan turut dilaporkan berlaku di kem-kem di Sarawak, Perlis dan Terengganu," tambahnya.
Gambaran itu, katanya, memberi gambaran negatif terhadap PLKN yang bermatlamatkan untuk mengukuhkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
"JIM berkongsi kekhuatiran rakyat, khususnya ibubapa yang telah meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dengan menyerahkan anak-anak mereka untuk dibentuk melalui PLKN.
Jurulatih terlatih
"Namun apa yang berlaku kini membuat ibubapa bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka yang sedang menjalani latihan di kem-kem dan kampus IPTA di seluruh negara," tambahnya.
Menurutnya, apa yang berlaku amatlah dikesali kerana sebelum ini JIM pernah mengingatkan kerajaan mengenai kemungkinan timbulnya pelbagai masalah akibat pelaksanaan PLKN secara tergesa-gesa.
Sebelum ini, katanya, JIM telah menggesa agar PLKN turut melibatkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan ulama.
"JIM turut mengingatkan agar solat dijadualkan dalam aturcara PLKN dan percampuran di antara pelatih lelaki dan wanita dihindarkan. Malangnya, maklum balas yang diterima dari pelatih PLKN dari beberapa kem, menunjukkan solat tidak dijadualkan, malah diabaikan sama sekali," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan menilai kembali aspek pelaksanaan program ini dengan memberi perhatian kepada beberapa perkara termasuk meneliti proses pengambilan jurulatih agar mereka yang benar-benar layak sahaja, dipilih menjadi fasilitator.
"Perkara ini perlu ditekankan kerana kejadian pergaduhan yang berlaku di salah sebuah kem PLKN di Sarawak melibatkan jurulatih yang dikatakan sedang berada dalam keadaan mabuk," tegas Zaid.
Beliau juga menegaskan pentingnya meningkatkan aspek keselamatan sepanjang tempoh mereka menjalani latihan, kerana dalam salah satu kejadian pengaduhan yang berlaku, jurulatih dilaporkan tidak berada di tempat latihan.
JIM, katanya juga menggesa Jabatan Latihan Khidmat Negara supaya menyediakan laporan penuh semua kejadian yang tidak diingini sepanjang pelaksanaan PLKN supaya dapat disiasat dan mencari jalan supaya ianya tidak lagi berulang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.