Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: K'jaan tak larang pentas balet di KLPac
Diterbitkan:  Apr 5, 2012 1:15 PM
Dikemaskini: 11:22 AM

Kerajaan tidak melarang cadangan persembahan balet di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac)) di Kuala Lumpur pada hujung minggu ini, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Tiada larangan dikeluarkan dan pertunjukan patut diteruskan seperti dirancang," katanya kepada Bernama hari ini.

Rais juga berkata beliau menyukai semua bentuk kesenian dan teater dan seni balet patut digalakkan.

Seorang pegawai Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) berkata mungkin berlaku silap faham oleh pihak tertentu dengan mendakwa persembahan ballet oleh Singapore Dance Theatre itu tidak dibenarkan.

Malahan, katanya permohonan bagi permit untuk mengadakan persembahan itu hanya dikemukakan pada 12.30 tengah hari, hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa Puspal akan menimbangkan permohonan itu dan menurutnya sepatutnya tiada masalah kerana agensi itu pernah memberikan kebenaran serupa dua tahun lepas.

Puspal juga telah mengeluarkan notis dalam laman webnya bahawa laporan sebuah portal berita online bahawa Singapore Dance Theatre dipaksa membatalkan perancangannya itu selepas gagal mendapatkan kebenaran daripada agensi itu, adalah tidak berasas dan tidak tepat.

Terdahulu, bercakap kepada pemberita di Angkasapuri di sini, Rais menjelaskan tiada permohonan dikemukakan kepada Puspal oleh mana-mana pihak untuk meminta kebenaran bagi mengadakan persembahan ballet itu sebelum ini.

"Tidak wujud langsung soal pembatalan atau penolakan. Dan sekiranya orang atau pihak terbabit mahu memberikan nota makluman kepada kami, kami sedia membantu," katanya.

Rais berkata kumpulan ballet itu patut dibenarkan mengadakan persembahan seperti dirancang dan rakyat Malaysia bebas untuk menyaksikan persembahan itu.

Beliau berkata sepatutnya tiada masalah untuk penganjur memperoleh permit asalkan mereka mematuhi garis panduan yag ditetapkan.

Laporan terdahulu menyebut, kerajaan Malaysia tidak meluluskan permit untuk kumpulan Singapura untuk mempersembahkan tarian balet, termasuk "The Nutcracker" ekoran pakaiannya yang dikatakan menjolok mata.

Ballet Illuminations sepatutnya dipentaskan tiga kali hujung minggu ini tetapi Singapore Dance Theatre diberitahu bahawa kementerian itu menggantung permitnya tanpa penjelasan, lapor Reuters.

Ia mengejutkan kumpulan itu yang sudah mementaskannya di Singapura - dengan pakaian ketat dan skirt pendek yang sama - sejak dua tahun lalu tanpa sebarang masalah.

Bilqis Hijjas, presiden MyDance Alliance di Kuala Lumpur berkata, keputusan itu "amat dikesali" dan bakal merosakkan reputasi Malaysia sebagai tuan rumah persembahan seni.

"Penyanyi Ballet di Baghdad pun dibenarkan memakai pakaian balet di pentas," beliau dilapor berkata kepada sebuah portal berita.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS