Wakil rakyat PAS Kelantan dipelawa menyertai Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan BN membentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada untuk membantu rakyat negeri itu.

Ketika membuat jemputan terbuka itu, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Awang Adek Hussin ( gambar) berkata inilah masanya untuk wakil rakyat PAS membuktikan pengorbanan mereka kepada rakyat Kelantan.

"Ini bukan soal lompat-melompat ...ia adalah kesedaran diri sendiri bahawa inilah pengorbanan mereka untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat Kelantan," katanya.

Beliau, yang juga ahli parlimen Bachok, memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Pesta Buku Kelantan 2004 di Kota Bharu, hari ini.

PAS Kelantan memenangi 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum pada 21 Mac lalu untuk membolehkannya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti tipis. BN/Umno pula memenangi 21 kerusi.

Terjejas

Menurut Bernama , Awang Adek berkata keadaan kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang yang lemah akan menyebabkan pembangunan Kelantan terjejas dalam tempoh jangka panjang.

Beliau berkata penyertaan wakil rakyat PAS ke dalam BN akan memudahkan kerajaan baru pimpinan Umno melaksanakan lebih banyak kemudahan dan kebajikan kepada rakyat.

"Masuklah dengan ikhlas, kita tidak memaksa mereka tetapi atas kesedaran mereka sendiri," katanya.

Terdahulu daripada itu, ketika berucap pada majlis itu, Awang Adek, yang juga Bendahari Umno Kelantan, berkata kemenangan BN merampas banyak kerusi DUN Kelantan adalah hasil kerjasama golongan guru dan pegawai kerajaan.

Beliau berkata rakyat negeri Kelantan telah menyatakan keinginan mereka untuk merasai perubahan dan inilah masanya untuk wakil rakyat PAS turut membantu melaksanakan hasrat mereka itu.