Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam supaya menjadikan sejarah dan keperibadian Rasulullah sebagai panduan untuk mengharungi dunia serba mencabar pada masa ini.

Muhyiddin, yang juga Ketua Bahagian Umno Pagoh, berkata soal akhlak, budi pekerti serta moral tinggi amat penting untuk hidup bahagia dan sejahtera tanpa mengira zaman.

"Kehidupan kita pada masa ini berhadapan dengan masalah sosial yang tinggi. Sehubungan itu, kita tidak boleh mengabaikan soal akhlak dan moral kerana jika tidak, kita akan hanyut dalam arus globalisasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul Umno Bahagian Pagoh di Masjid Felcra Bukit Kepong dekat Muar malam tadi.

- Bernama