Eratkan hubungan antara negara melalui seni
Seni adalah sebahagian daripada budaya keluarga yang menyatukan individu daripada seluruh dunia untuk meluahkan perasaan dan idea mereka dengan cara paling kreatif dan menarik, justeru, ia
adalah kaedah terbaik untuk meningkatkan hubungan antara negara, kata artis Iran Asghar Yaghoubi.
"Terjemahan tidak diperlukan dalam seni kerana lukisan menjelaskan segala-galanya dan ia bergantung kepada kreativiti setiap individu untuk mentafsir mesej. Mengenali budaya atau makanan adalah cara terbaik untuk membina hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya kepada Bernama .
Yaghoubi, yang juga merupakan tenaga pengajar seni, adalah salah seorang daripada 16 pelukis Iran yang menyertai pameran Malaysia-Iran Art Exhibition (MAIRA) 2012, yang berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan(Aswara) dari 19 Mac hingga 12 April. Beliau merancang memperkenalkan seni Iran dan Parsi serta artis negara itu dan sedang mencari peluang bagi artis
kedua-dua negara bekerjasama.
"Adalah lebih baik jika lebih banyak pameran dan bengkel boleh dianjurkan untuk artis kedua-dua negara, di mana mereka boleh berbincang untuk promosikan budaya masing-masing melalui kerja seni," kata Yaghoubi, yang merupakan ahli bersekutu dengan Cube Gallery International Creative Art, galeri seni Iran pertama di Asia Tenggara, yang terletak di Malaysia.
Sebanyak 45 karya artis Malaysia dan Iran dipamerkan membabitkan 20 artis tempatan seperti KamarulzamanTaib, yang dikenali dengan Chekem, MahsunTaib, MohamadIsmadiSallehudin dan Suzlee Ibrahim.
Yaghoubi berkata kebanyakan rakyat Malaysia percaya bahawa Iran dan Arab adalah sama dan sebahagian misi beliau di Kuala Lumpur juga adalah untuk menunjukkan peradaban Iran, adat, bahasa dan malahan makanan adalah berbeza daripada bangsa Arab.
Beliau juga memuji penubuhan MIAS (Malaysian Iranian Arts Society) di negara ini tahun lepas, menggambarkan ia sebagai usaha simbolik mempromosikan kerja-kerja seni dan kebudayaan kedua-dua negara, yang boleh dijadikan platformoleh artis negara itu untuk lebih berkomunikasi dengan pelukis dari benua Asia.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi beliau untuk merealisasikan usahanya itu, Yaghoubi berkata cabaran utama ialah kewangan, iaitu mendapatkan bahan untuk menghasilkan karya dan seterusnya menjual hasil seni itu.
"Sukar untuk menjual lukisan di sini kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak tahu tentang seni Iran dan Parsi. Kami memerlukan sokongan rakyat di negara ini dalam usaha kami untuk memperkenalkan seni dan warisan Iran di Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata seni kontemporari masih baru di Malaysia dan masyarakat perlu didedahkan dengan konsep seni ini melalui pameran dan bengkel.
"Bagaimanapun, terdapat ramai bakat baru di Malaysia dan daripada apa yang saya lihat mereka sangat kreatif melahirkan idea dan perasaan mereka. Juga daripada lukisan, kita boleh melihat peradaban Malaysia," katanya.
Sementara itu, Mohd Faizal Suhif, 28, pelukis tempatan berkata beliau menyertai pameran itu untuk menggalakkan pelajar seni terus memupuk minat dalam karya seni halus.
"Pelajar seni halus tidak mempunyai kerja yang khusus selepas mereka menamatkan pengajian. Mereka dilatih untuk menjadi artis, jadi salah satu cara untuk mereka mendapatkan pekerjaan ialah dengan menghasilkan karya dan menyertai pameran," katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi oleh penggiat seni Malaysia, beliau berkata berbanding dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, artis di Malaysia kurang dihargai.
"Di Indonesia, jika orang tahu anda seorang pelukis, mereka akan menghormati anda kerana bakat, kreativiti dan keupayaan untuk mengekalkan diri anda. Tetapi di Malaysia, jika mereka tahu anda seorang artis, mereka akan memandang sinis dan berkata ini bukan satu kerjaya dan tidak stabil," katanya.
Bagaimanapun, beliau memuji pihak penganjur kerana menganjurkan pameran sedemikian, kerana ia berupaya mengubah persepsi rakyat Malaysia terhadap penggiat seni, lebih-lebih lagi ia berupaya mendekatkan golongan artis dengan masyarakat.
- Bernama

