Tim ketua menteri yakin BN kekal k'jaan di Sabah
Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin yakin BN akan kekal menerajui kerajaan Sabah pada pilihan raya umum yang akan datang.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat Sabah terhadap BN yang padu dan berterusan.
Katanya ini kerana BN negeri telah membuktikan kemampuannya memerintah negeri ini dengan baik dan banyak membawa pembangunan untuk kemudahan rakyat.
Sambil memberi contoh kawasan Parlimen Putatan, Yahya berkata beberapa dekad yang lalu pekan Putatan hanya mempunyai beberapa deret kedai.
Tetapi "kini keadaannya sudah berubah dan banyak pembangunan termasuk infrastruktur jalan raya, perumahan dan rumah kedai yang sudah dibangunkan."
"Kita boleh lihat sendiri keadaan lanskap pembangunan di Putatan terutama sekali projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
"Inilah nikmat pembangunan yang rakyat kecapi hasil kesungguhan kerajaan BN membangunkan negeri ini bukan sahaja di daerah Putatan tetapi juga di kawasan lain," katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian serentak persidangan cawangan pemuda, wanita dan puteri Umno bahagian Putatan di Putatan, semalam.
- Bernama

