Polis: Siasatan kes NFC masih berjalan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID), Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata siasatan ke atas kes National Feedlot Corporation (NFC) masih memerlukan masa.
Syed Ismail berkata polis masih menyiasat kes berkenaan, khususnya untuk mengesan wang terlibat, dan belum menutup siasatan kes berkenaan.
Beliau juga tidak menolak pandangan bahawa terdapat individu lain yang akan didakwa berhubung kes tersebut.
Namun, perkara itu bergantung kepada Pejabat Peguam Negara, katanya.
Syed Ismail sebelum ini dilaporkan telah mengesyorkan supaya pengerusi NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail didakwa atas tuduhan pecah amanah.
Kenyataannya itu timbul selepas kertas siasatan berkenaan bertukar tangan beberapa kali antara polis dan juga Pejabat Peguam Negara dan Mohamad Salleh kemudiannya didakwa bulan lalu atas dua tuduhan pecah amanah dan dua lagi mengikut Akta Syarikat 1965.

