Peniaga Pasar Payang mahu lokasi strategik
Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Terengganu meminta kerajaan negeri menyediakan sebuah tapak perniagaan di lokasi strategik apabila sebahagian bangunan di Pasar Besar Kedai Payang akan dirobohkan menjelang Oktober ini.
Pengerusinya, Ibrahim Mohamad berkata kata sepakat itu telah dicapai di mana lebih 100 peniaga ikan, ayam dan daging di pasar itu sanggup berpindah ke pasar Chabang Tiga, namun berharap kerajaan negeri memberi mereka tapak perniagaan baru di Pulau Warisan.
"Kami menyokong tindakan kerajaan negeri yang ingin mengubah suai dan menaik taraf pasar ini supaya kekal menjadi destinasi pelancongan terkenal di Terengganu.
"Namun, dalam masa yang sama peniaga tidak mahu menggadaikan nasib dengan berpindah ke lokasi baru yang tidak strategik berbanding cadangan asal lokasi yang terletak di Pulau Warisan," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Terengganu hari ini.
Berita mengenai sebahagian bangunan di Pasar Kedai Payang perlu dirobohkan dalam tempoh enam bulan itu menimbulkan keresahan di kalangan peniaga kerana akan menjejaskan sumber rezeki perniagaan mereka.
Peniaga juga tidak bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said seperti yang diumumkan baru-baru ini untuk memindahkan mereka ke Pasar Chabang Tiga ekoran jarak yang jauh dari bandar.
Malah Ibrahim berkata ruang berniaga di situ lebih kecil dan sukar untuk menarik pelanggan kerana lokasinya yang tidak strategik.
"Kami bukan menentang pembangunan, cuma mahukan jaminan lokasi yang strategik apabila diarahkan berpindah kelak.
"Malah, ramai di antara kami sudah berniaga lebih 40 tahun di sini yang mempunyai pelanggan tetap di sekitar Kuala Terengganu. Kerajaan negeri tidak boleh meminggirkan kami begitu sahaja dengan memberi kami tapak perniagaan baru yang kurang sesuai," katanya.
Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini mengarahkan sebahagian bangunan yang menempatkan peniaga ikan, ayam dan sayur di pasar itu dirobohkan kerana ia mengancam nyawa orang ramai, malah ia boleh runtuh bila-bila masa berikutan struktur besi yang semakin reput di bawah bangunan.
- Bernama

