Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Undang-undang pencegahan baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dibentangkan di Parlimen hari ini.

azlan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 itu dibentangkan menteri hal ehwal undang-undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau turut mencadangkan bacaan kali kedua rang undang-undang itu dibuat pada persidangan kali ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata rang

undang-undang itu akan dibaca untuk kali kedua dan dibahas Isnin ini.

Rang undang-undang itu memberi kuasa untuk mengambil tindakan khas bagi mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan khususnya untuk mengambil tindakan ke atas bentuk ancaman berikut:

  • Menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut kepada keganasan itu
  • Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong
  • Memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatan Persekutuan Malaysia atau mana-mana bahagiannya
  • Mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.

Undang-undang tersebut diperkenalkan ekoran kritikan hebat terhadap ISA yang dikuatkuasa sejak 52 tahun lalu.

Perdana menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia pada 15 September lalu mengumumkan pemansuhan ISA dan memaklumkan dua undang-undang baru akan digubal bawah semangat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

[Baca berita penuh]

ADS