Media terus canang kejayaan pentadbiran Najib
Kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mempromosi kejayaan pentadbiranya sejak tiga tahun lalu terus dicanang melalui media cetak dengan siaran iklan penuh di akhbar harian.
Kesemua akhbar dalam semua bahasa hari ini menyiarkan iklan halaman penuh berwarna dengan menyenaraikan jumlah bantuan yang dibayar oleh pentadbiran Najib sejak setahun lalu.
Bayaran berkenaan dibuat melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M, RM2.6 bilion), Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma, RM1.4 bilion), baucar RM200 untuk buku pelajar sekolah dan kolej (berjumlah RM263 juta) serta bantuan RM100 kepada pelajar (kesemuanya RM550 juta).
Iklan berkenaan juga mengingatkan rakyat mengenai subsidi kerajaan sebanyak RM20.96 untuk setiap silinder gas memasak 14kg.
'Janji Ditepati' merupakan kempen untuk mempromosi kejayaan Najib melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) selepas tiga tahun khidmatnya sebagai perdana menteri.
Kempen berkenaan dilihat sebagai usaha terakhir Najib untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya ke-13 yang dijangka akan diadakan seawal Jun.
Kempen yang turut meraikan ulangtahun ketiga Najib sebagai perdana menteri itu dilancarkan Isnin lalu dengan siaran ucapan melalui televisyen.
Ucapan tersebut diikuti dengan program jelajah ke sembilan lokasi di seluruh negara, bermula di Batu Pahat pada Ahad lalu yang menarik kehadiran 50,000 orang.

