Ketua Penerangan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyifatkan tindakan ejen hartanah swasta mengedar surat tawaran meminta penduduk di Balik Pulau menjual atau menyewakan tanah mereka sebagai tidak wajar dan tidak patut berlaku.

NONE Beliau berkata tindakan ejen itu seperti mempunyai niat dan tujuan tertentu serta cuba meraih keuntungan untuk kepentingan sendiri tanpa memikirkan kebajikan penduduk.

"Sebelum ini tidak timbul isu seperti ini, ia satu perkara baru. Penduduk perlu berhati-hati dengan niat ejen ini.

"Tanah itu adalah harta yang menjadi milik penduduk, fikirkan tentang masa depan, jangan bertindak terburu-buru," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) di Restoran Peladang Balik Pulau di Balik Pulau Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Betong Muhamad Farid Saad, mengenai tindakan syarikat ejen hartanah swasta yang meminta penduduk yang berminat menjual atau menyewa tanah agar menghubungi ejen itu.

- Bernama