Syarikat pertahanan taja pelajar M'sia ke UK
BAE Systems akan menaja tujuh pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam kejuruteraan dan sains di United Kingdom pada 2012 dan seramai14 pelajar lagi pada 2013 di bawah inisiatif
Biasiswa Chevening BAE Systems Malaysia.
Syarikat pertahanan, keselamatan dan aeroangkasa global itu berkata biasiswa itu akan diuruskan oleh Pejabat Luar Negara dan Komanwel di Malaysia, yang akan memilih pelajar menerusi proses yang kompetitif.
"Kami melihat program ini sebagai bahagian penting dalam hasrat kami untuk menyokong Malaysia dalam membangunkan sektor teknologi tingginya dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan," kata John Brosnan, Pengarah Urusan bagi Asia Tenggara BAE Systems dalam kenyataan hari ini.
Katanya penajaan BAE Systems bagi program biasiswa itu selaras dengan Wawasan 2020 Malaysia dan sebagai menyokong aspirasi negara untuk melahirkan pemimpin-pemimpin dan membangunkan ekonomi menerusi Program Transformasi Ekonomi.
- Bernama

