Pemuda DAP (Dapsy) tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri yang menyifatkan remaja yang tidak mahu menyertai program tersebut sebagai tidak patriotrik.

Sebaliknya, menurut kenyataan Biro Publisiti Pusat Dapsy, masalah pokoknya tiada kena mengena dengan semangat patriotik, tetapi masalah kekurangan perancangan dan pengurusan berkualiti yang mencukupi.

Oleh itu, katanya, tindakan Jawatankuasa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk mendakwa remaja yang tidak mahu menyertai program tersebut sebagai tidak adil.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, Dr Ahmad Fawzi berkata 10,000 peserta tidak hadir - termasuk 2,700 daripadanya yang telah dihubungi tetapi masih gagal mendaftar - akan dihadapkan ke mahkamah.

Menurut Dapsy, tindakan itu tidak adil kerana mungkin sebahagian daripada mereka berada di luar negara dan mereka mungkin juga tidak dapat menyertai PLKN kerana masalah teknikal walaupun tahu nama mereka tersenarai.

Oleh itu, Dapsy menggesa pihak MLKN supaya mengkaji setiap kes sebelum memutuskan mengenai sebarang tindakan yang mahu diambil terhadap mereka.

Kesuntukan masa

Katanya, tugas utama majlis tersebut ialah bagaimana hendak menyelesaikan masalah-masalah serius yang berlaku di kem-kem PKLN dan seterusnya memulihkan kenyakinan ibubapa terhadap program tersebut.

"Adalah jelas, hampir kesemua kecacatan yang berlaku dalam PLKN ini berpunca daripada kekurangan perancangan yang teliti oleh pihak berkenaan. Ini kemungkinan besar disebabkan oleh kesuntukan masa.

"Dapsy percaya sekiranya masa yang mencukupi diperuntukkan untuk merancang program ini, maka keberangkalian masalah-masalah ini berlaku dapat dikurangkan secara signifikan," tegas kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, sekiranya masa mencukupi, surat arahan tersebut sepatutnya dapat dikirimkan kepada setiap peserta PLKN.

"Dapsy berpendapat sekiranya ia dapat dirancang dengan baik, maka pihak berkenaan seharusnya dapat menjangka alamat pos sesetengah peserta mungkin sudah berubah.

"Dengan berbekalkan peringatan ini, pihak berkenaan akan dapat meneliti alamat pos setiap peserta dan ini dapat mengurangkan angka berkenaan (10,000 peserta yang tidak hadir)," tambahnya.