Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa kerajaan akan mengkaji semula secara komprehensif Akta Hasutan, tanpa mengenepikan apa-apa opsyen.

Perdana Menteri berkata pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, tidak bermakna berakhirnya usaha yang telah dimulakan sejak tujuh bulan lalu.

"Pastinya, kerajaan akan meneruskan usaha perubahan dan pembaharuan politik yang mulia ini," katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.

Pada 16 September tahun lalu sempena Hari Malaysia, Najib mengumumkan inisiatif Program Transformasi Politik yang melibatkan pembatalan tiga Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, penggubalan Akta Perhimpunan Aman, termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Najib berkata paling utama tiga prinsip perlu kekal dalam sebarang evolusi kerangka perundangan baru itu, iaitu menangani perbuatan dan perlakuan yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana raja.   

Selain itu, katanya, ia bagi menangani perbuatan dan perlakuan yang mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di negara ini.

"Ketiga, menangani perbuatan dan perlakuan yang mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 151, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

- Bernama