Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan menggubal rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Najib dipetik Bernama sebagai berkata, tindakan berkenaan demi mengekalkan janji kerajaan untuk menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan.

Tambahnya, badan Majlis Media akan ditubuhkan untuk melaksana kawalselia kendiri dalam industri berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, Najib berkata kerajaan "tidak takut dan gentar" apabila berbuat demikian untuk bersaing dalam demokrasi.

"Kita tidak takut berbanding idea serta dasar dengan sesiapa pun. Kita percaya kita telah melakukan yang terbaik demi rakyat Malaysia. Kita akan terus melaksanakan yang terulung untuk rakyat Malaysia

"Pokoknya, kita sedang mencipta sebuah negara di mana keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menjadi payung kepada setiap individu, agar bebas menyuarakan pendapat, mengkritik, menyokong, berbeza pandangan, bersiasah, mahupun menganggotai apa-apa pertubuhan.

"Pendek kata, tidak ada sesiapa akan dihukum hanya kerana menjalankan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara," katanya lagi.

Najib berkata demikian hari ini ketika ketika membentangkan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat hari ini.