Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, Malaysia masih kekal bertahan sehingga kini kerana ditadbir oleh barisan kepimpinan yang bertanggungjawab.

Katanya, Atas sebab itulah menurutnya, sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada kini semakin dilihat semakin memuncak.

Katanya, ia berbeza dengan pembangkang, yang dianggap mengamalkan politik "populis semberono" dan rakyat semakin mengenali tipu helah pembangkang.

"Saya kata pembangkang pembohong sebab janji, mereka tidak tunaikan. Mereka tidak tunaikan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan lama sudah tidak tunaikan janji di Kelantan.

"Kerana itu pada pandangan saya apa yang mereka buat adalah untuk gimik pilihan raya sahaja dan mereka hendak berjanji lagi kalau pun mereka tidak menepati janji sebelum ini," katanya selepas merasmikan Program Pemantapan Jalinan Rakyat (JR) Wanita BN Parlimen Bukit Katil di Dewan Demang, Bukit Katil, Melaka Husin hari ini.

Ahmad Maslan berkata, perkataan "Populist Sembrono" juga pernah disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

"Mereka hanya ingin mencari populariti yang sekejap tanpa memikirkan kesan daripada apa yang mereka laksanakan itu dengan tanpa perancangan yang teliti sebagai contoh pemansuhan ISA tanpa memikirkan alternatif dan sebab alasannya.

"Yang bijaksana adalah kerajaan BN, kerana kita memansuhkan ISA dan kita juga bentang akta menggantikan ISA yang cukup rapi, teratur, terlaksana bagi menjaga keselamatan negara," katanya.

Beliau berkata, setiap yang dilakukan pembangkang tanpa mengira duit yang datang dari mana ia berbeza dengan BN yang memikir kekuatan kewangan negara terlebih dahulu.

"Saya harap rakyat jangan tertipu dengan sentimen perasaan yang ingin diluahkan pembangkang sebab politik ini melibatkan perasaan.

"Politik ini kadang-kadang kurang fikiran, lebih pada emosional, dan kurang rasional.

"Kalau ikut perasaan negara ini hancur dan negara ini masih ada hingga sekarang ini kerana ia ditadbir mengikut fikiran," katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama, beliau berkata, tindakan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dianggap satu lingkaran sejarah yang cukup menakjubkan dalam transformasi politik di negara ini.

Menurutnya, kerajaan langsung tidak takut melaksanakan perkara tersebut berikutan merasakan rakyat negara ini sudah cukup matang dan bertanggungjawab.

"Kerajaan tidak takut kerana tahu rakyat sudah semakin matang dan bertanggungjawab namun perkara-perkara yang menjadi tunggak dalam negara ini akan sentiasa terpelihara dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

"Kita selalu dengar tentang transformasi ekonomi, namun tindakan kali ini berhubung transformasi politik pula. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasakan rakyat sudah cukup matang untuk melihat itu maka kerajaan berani melaksanakan apa yang diadakan sekarang," katanya.

Beliau menegaskan meskipun ISA dimansuhkan namun perkara-perkara yang menjadi tunggak dalam negara ini akan sentiasa terpelihara dengan peruntukan undang-undang yang ada seperti Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang mula dibentangkan Selasa lalu.

"Jangan kerana tidak ada ISA maka rakyat mula berfikir mereka boleh buat macam-macam perkara, ini tidak sepatutnya berlaku.

"Kerana kita ada akta tertentu yang boleh kita laksanakan bagi memastikan orang-orang yang buat salah itu boleh kita tangkap dan kita bicarakan dan kita penjarakan," katanya.

Ahmad berkata, pemansuhan ISA berikutan kerajaan di negara ini menjunjung demokrasi dan hak asasi manusia atas dasar tidak ingin ada lagi penahanan tanpa bicara.

"Ini suatu kematangan politik yang hebat dilakukan oleh pimpinan kita dan kita yakin selepas ini demokrasi semakin subur di Malaysia.

"Selepas ini tidak ada orang yang ditahan hanya kerana perbezaan pendapat politiknya, namun sekiranya orang-orang politik buat silap dan melanggar undang-undang, ada undang-undang untuk mengatasi kesilapan mereka," katanya.

ADS