Satu lagi kerusi Pakatan untuk dimuktamadkan di PP
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membayangkan bahawa kerusi tertentu di Pulau Pinang memerlukan perbincangan selanjutnya, sekali gus bermakna senarai calon dalam pilihan raya umum akan datang belum dapat dimuktamadkan.
Spekulasi mengatakan kemungkinan kerusi itu membabitkan Pantai Jerejak yang kini disandang oleh ADUN Sim Tze Tzin, yang juga ketua Cabang PKR Bayan Baru.
Menurut sumber dalaman parti, Sim ( kanan ) sedang mengintai kerusi parlimen Bayan Baru yang kini diwakili Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, bekas calon PKR yang kemudiannya menjadi ahli Parlimen bebas mesra BN sejak Februari 2010.
Sim bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu tersebut dan berkata, kepimpinan parti mempunyai kata putus mengenai calon kerusi parlimen dan negeri.
Malaysiakini difahamkan kira-kira 20 anggota parti baru-baru ini bertemu ketua PKR negeri dan Timbalan Ketua Menteri I Mansor Othman bagi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai calon yang dicadangkan untuk Pantai Jerejak.
Kumpulan itu tidak bersetuju dengan rancangan untuk meletakkan anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang Rashid Hasnor bertanding di situ.

