Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan naib presiden parti itu Tian Chua menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Rabu lalu.

Mereka sebaliknya mendakwa, tuduhan itu serangan peribadi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik, lapor Berita Harian.

NONE Azmin ( kiri ) mempersoalkan bagaimana Dr Rahman Kadir yang dikatakan bertugas sebagai pegawai perubatan pada majlis berkenaan boleh duduk di Balairong Seri dan mendakwa melihat sendiri kejadian itu.

"Saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat dan ini jelas propaganda Umno serta BN yang gagal menjawab isu rakyat," beliau dipetik sebagai berkata ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Dr Rahman mendakwa melihat ahli parlimen pembangkang mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Tian Chua pula dilaporkan mendakwa penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu seperti yang dicadangkan beberapa pihak tidak berasas kerana ia tuduhan tanpa saksi.

Katanya, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita itu yang didakwa beliau ditulis berdasarkan blog tanpa menyiasat sumber sebenar berita.