Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPN: Senjata moden mudahkan perlindungan
Diterbitkan:  Apr 18, 2012 1:10 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Persenjataan moden dan canggih serta peralatan keselamatan terkini memudahkan tugas melindungi orang ramai daripada bahaya menjadi semakin cekap dan berkesan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri

Ismail Omar.

Beliau berkata pihak penguatkuasa mesti lebih ke hadapan dan terkini daripada penjenayah daripada segi pengetahuan dan maklumat bagi membolehkan mereka mencegah sebarang perlakuan jenayah.

NONE "Memandangkan keadilan dan ketenteraman menjadi semakin lebih maju dan sofistikated, perlakuan jenayah dan niat jahat pelaku turut dimudahkan dengan teknologi terkini menjadikannya semakin sukar ditangkap, tiada kesan dan tidak dapat dijejaki," katanya pada majlis jamuan malam sempena persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan (DSA) di Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapan ketua polis negara dibacakan oleh timbalannya Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Ismail berkata penguatkuasaan undang-undang amat penting bagi menjadikan keamanan dan ketenteraman awam yang boleh mewujudkan suasana positif bagi negara terus memacu kemajuan dan bersaing di peringkat antarabangsa.

"Inovasi dan penambahbaikkan menerusi teknologi dan sumber-sumber yang sentiasa berkembang pesat dan dikemas kini menjadikan tugas melindungi orang ramai kini menjadi semakin mudah," katanya.

Mengenai DSA ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra yang berakhir pada Khamis ini, Ismail berkata DSA menjadi landasan penting bagi pihak berkuasa dan petugas keselamatan dari Asia dan Malaysia untuk mengikuti perkembangan terkini teknologi dan produk pertahanan.

"Ini kerana DSA diadakan secara berterusan dan mempamerkan peralatan dan teknologi pertahanan, persenjataan dan kemajuan terbaru dalam bidang keselamatan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS