Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan maahad tahfiz Al-Quran di negara ini menawarkan sijil pelajaran yang diiktiraf oleh kerajaan bagi membolehkan pelajar mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Baginda bertitah selain itu, kerajaan perlu mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi sl-Quran bertaraf universiti untuk para penghafaz.

Baginda bertitah demikian pada penutupan Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-33 di Dewan Warisan di Kangar. Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Baginda bertitah peluang penghafaz Al-Quran untuk mendapat pekerjaan di negara ini amat luas memandangkan terdapat 5,000 masjid dan 278 maahad tahfiz yang membuka ruang kepada mereka menjadi tenaga pengajar di samping institusi pengajian tinggi lain yang memerlukan khidmat golongan itu.

Penghafal Al-Quran mempunyai tanggungjawab besar untuk diri sendiri, masyarakat dan negara termasuk menjadi pemangkin ke arah melahirkan generasi celik Al-Quran, titah baginda.

- Bernama