Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyalahkan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) berhubung kesilapan pada cetakan kertas undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembang sehingga memaksa pengundiannya diadakan semula.

Pengundian bagi DUN Sungai Lembing dibatalkan kerana kesilapan cetakan lambang Parti Keadilan Nasional pada calon PAS. Berikutan itu, SPR mengadakan pilihanraya semula bagi kawasan terbabit pada 28 Mac lalu.

Menurut laporan Bernama, SPR menganggap kegagalan dua penyemak PNMB mengesan kesilapan pada salinan pruf kertas undi, merupakan punca kesilapan pada cetakan tersebut.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menyifatkan kelemahan PNMB dari segi pengurusannya, sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak profesional, kerana menukar cara mencetak kertas undi tanpa memberitahu SPR.

"Salinan pruf kertas undi yang baru, untuk undi biasa, tidak dihantar kepada Pegawai Pilihanraya Negeri Pahang seperti yang dikehendaki mengikut tatacara yang dipersetujui, dan hal ini jelas melanggar tatacara dan boleh dianggap tidak profesional," katanya.

Menurutnya, PNMB telah menggunakan salinan pruf kertas undi yang berasingan antara kertas undi pos dengan kertas undi biasa.

Oleh itu, katanya, berpendapat "kesilapan yang besar dan utama adalah di pihak pengurusan PNMB kerana membelakangi tatacara bahawa setiap salinan pruf perlu dihantar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri untuk disemak dan disahkan,".

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan hasil penelitiannya bersama ahli-ahli SPR mengenai laporan terperinci oleh Setiausaha SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan penjelasan PNMB berhubung insiden itu. dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Katanya, kesilapan bermula dengan bahagian pra-cetak PNMB khususnya "type setter" yang menyediakan salinan pruf kertas undi biasa yang tidak tepat, iaitu berbeza dengan contoh kertas undi yang dikeluarkan oleh Pejabat Pilihanraya Negeri Pahang kepada PNMB.

"Bagi percetakan kertas undi pos, ia didapati betul kerana salinan pruf kertas undi berkenaan telah disemak dan disahkan oleh Pegawai Pilihanraya Negeri Pahang," katanya.

Menurutnya lagi, apabila kertas undi yang siap dicetak diedarkan kepada pejabat Pegawai Pengurus yang dilantik bagi kawasan Parlimen Paya Besar, bungkusan kertas undi itu tidak diperiksa kerana beliau menganggap semuanya betul.

Abdul Rashid juga menegaskan kecuaian Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Sungai Lembing tidak boleh dianggap serius atas alasan undi pos yang dikeluarkan sebelumnya didapati betul dan diandaikan, tidak boleh berbeza dengan kertas undi biasa.

"Sekalipun jika kesilapan cetak itu diketahui pada 20 Mac, iaitu sehari sebelum hari mengundi, kemungkinan besar pengundian di kawasan itu terpaksa ditunda juga kerana kertas undi baru tidak akan sempat untuk dicetak semula," katanya.

Abdul Rashid bagaimanapun mengakui tidak seorangpun daripada 23 ketua tempat mengundi memeriksa bungkusan kertas undi ketika mengambilnya dari Pejabat Pegawai Pengurus pada hari pengundian, walaupun panduan dan latihan yang diberikan memerlukan dibuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tempat mengundi.

"Kesilapan hanya diketahui apabila ada pengundi membuat bantahan di tempat mengundi mengenai kesilapan itu. Bagaimanapun SPR menganggap insiden buruk ini sebagai sesuatu yang tidak dirancang atau diduga dan ia perlu dijadikan pengajaran dan teladan bagi PNMB untuk memperbaiki prestasi perkhidmatannya pada masa akan datang," katanya.

Ditanya sama ada SPR akan mencadangkan bentuk tindakan terhadap pegawai PNMB yang cuai itu, beliau berkata SPR tidak akan berbuat demikian.

"Saya tidak akan mencadangkan apa-apa bentuk tindakan, ini terpulanglah. Laporan polis pun telah pergi kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.