mk-logo
Berita
PAS juga akan naikkan bendera di stesen Komuter
Diterbitkan:  Apr 18, 2012 7:06 AM
Dikemaskini: 7:29 AM

Pemuda PAS menggesa seluruh penyokong dan anggota Pakatan Rakyat untuk menaikkan bendera mereka di seluruh 28 stesen Komuter kelolaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Selangor sebagai reaksi atas tindakan sama melibatkan bendera BN.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor berkata, bagi membuktikan keterbukaan dalam demokrasi, KTMB juga mesti memastikan bendera parti gabungan Pakatan terus dikibarkan dan memeliharanya daripada sabotaj.

riduan mohd nor "Pemuda PAS mengingatkan, stesen Komuter KTMB adalah milik awam. Tidak wajar hanya bendera BN sahaja dibenarkan dipasang, sebaliknya bendera Pakatan ditegah.

"Stesen komuter perlu dijadikan kawasan yang bebas kepada mana-mana parti politik untuk menggantung bendera masing-masing," katanya.

Riduan mengingatkan bahawa perkhidmatan Komuter dan stesennya dibina hasil titik peluh rakyat yang memberikan sumbangan kepada kerajaan dan negara, bukan dibina menggunakan duit pemimpin BN.

Beberapa stesen Komuter di Selangor semalam dikesan dipasang dengan bendera BN, yang dikaitkan dengan dakwaan terdapat arahan oleh Pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed supaya membenarkan perkara itu dan memeliharanya daripada khianat.

Mohd Zin yang juga penyelaras BN Selangor bagaimanapun menafikan perkara itu tetapi berpendapat tindakan itu tidak menjadi masalah asalkan tidak mengganggu isyarat dan memudaratkan perjalanan Komuter.

NONE Bekas menteri kerja raya itu juga berkata, kalau bendera lain hendak dinaikkan sama, perkara itu juga tidak menjadi masalah asalkan tidak mengganggu keselamatan.

Dalam kenyataannya hari ini, Riduan turut menyeru kakitangan KTMB yang menyokong Pakatan bersama-sama mengambil bendera parti masing-masing tanpa rasa takut.

"Jika mereka dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan KTMB atas tindakan mereka itu, ini membuktikan KTMB masih dikawal oleh pengaruh BN yang mengongkong kakitangannya daripada menyatakan sokongan politik kepada mana-mana pihak," kata Riduan. 

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini