Isu jualan MEX: Dr M 'hipokrit', kata DAP
Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap "hipokrit" apabila mengkritik penjualan konsesi lebuhraya Maju Expressway (MEX).
Dalam satu kenyataan hari ini, Pua berkata hujah Mahathir itu juga "berbelit" kerana perjanjian itu dianugerahkan oleh pentadbiran bekas perdana menteri itu.
"(Mahathir) yang menganugerahkan kontrak berat sebelah itu kepada Tan Sri Abu Sahid Mohamed pada 1997 dan kemudian menyemak semula perjanjian dan terma konsesi itu pada 2003 sebelum persaraannya.
"Oleh itu, sangat lucu apabila ia datang daripada bekas perdana menteri kita, untuk memarahi Abu Sahid kerana membuat untung sangat besar daripada konsesi kerajaan sedangkan Mahathir yang memberikannya kepada usahawan itu," katanya.
Konsesi untuk projek lebuhraya sepanjang 26 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dengan pusat pentadbiran Putrajaya itu dianugerahkan ketika pentadbiran Mahathir.
Jualan konsesi berkenaan kepada EP Manufacturing Bhd bakal memberi untung 1,800 peratus kepada Abu Sahid yang pada awalnya melabur RM60 juta untuk projek tersebut.
Jumlah berkenaan adalah tujuh kali lebih banyak daripada jumlah yang diperolehi sekiranya Abu Sahid terus mengendali konsesi tersebut untuk tempoh 25 tahun.
Pua berkata Mahathir juga telah memberikan "apa yang tidak dipunyainya" apabila pentadbiran beliau menganugerahkan geran berjumlah hampir satu bilion ringgit – wang awam yang tidak perlu dibayar semula oleh syarikat Maju Expressway Sdn Bhd.

