Polis ambil keterangan wartawan Utusan
Polis mengambil keterangan dua orang wartawan Utusan Malaysia berhubung laporan akhbar tersebut yang mendakwa pemimpin pembangkang bertindak menghina raja-raja Melayu ketika istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 berlangsung di Istana Negara, minggu lalu.
Wartawan berkenaan, Mohd Asron Mustapha dan Mohd Rafie Azimi diambil keterangan oleh polis semalam, menurut laporan akhbar tersebut hari ini.
Polis turut menyiasat seorang petugas perubatan Dr Rahman Kadir – sumber yang dipetik kenyataannya dalam laporan wartawan terbabit, menurut laporan hari ini.
Selain itu, laporan yang memetik sumber hari ini menyebut bahawa polis telah mengenalpasti tindakan yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan semasa istiadat 11 April itu berlangsung.
Polis juga telah menerima 40 laporan polis berhubung tindakan "mempersenda dan mengejek" itu, menurut laporan hari ini.
Akhbar berkenaan juga memetik kenyataan MP Shah Alam Khalid Samad yang mempertikaikan sekiranya Dr Rahman benar-benar berada di dalam dewan istiadat tersebut dan menyaksikan perbuatan seperti yang didakwa itu.
Selain itu, akhbar berkenaan turut melaporkan kenyataan bekas pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Dr Hasan Ali; presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali dan juga presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah.
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan – seperti juga kenyataan pemimpin pro-Umno yang dilaporkan Utusan sejak beberapa hari lalu – mengutuk perbuatan menghina raja Melayu, seperti yang didakwa Dr Rahman.

