Bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menganggap "adalah mentah dan tidak realistik untuk mengharapkan perubahan bermakna" dalam pemilihan agung parti itu pada Mei ini.

Anwar, dalam satu kenyataan khusus kepada malaysiakini , mendakwa perubahan itu tidak tercapai kerana proses pemilihan yang diamalkan kini 'mempunyai kecacatan' walapun yakin "prinsip-prinsip demokrasi masih kukuh dalam perlembagaan parti."

Beliau juga yakin masih mempunyai sokongan ahli-ahli akar umbi tetapi tidak menjawab kemungkinan wujudnya kerjasama antara penyokongnya dengan kumpulan bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah.

Diminta mengulas kenyataan Tan Sri Musa Hitam yang menganalisis Umno menerima padah apabila terlalu memburuk-burukkannya, Anwar berkata parti itu tidak terlibat dengan konspirasi.

"Dr Mahathir, Daim [Zainuddin] dan beberapa orang lagi sebenarnya yang merancang konspirasi itu bagi sebarang percubaan mendedahkan rasuah dalam salah guna kuasa mereka," kata Anwar dalam jawaban bertulisan tangan.

"Dr Mahathir mesti meletakkan jawatan dan Umno perlukan reformasi," katanya lagi, apabila ditanya bagaimana parti itu boleh menyelesaikan perselisihan dan kekal bersatu.

Pemilihan agung tahunan, katanya, menjadi "pentas untuk memuja-muji tokoh pemimpin agung itu."

Anwar juga mendakwa politik ugut dan ketakutan, selain politik wang, akan mempengaruhi pemilihan tahun ini.

Sejak selepas pilihan raya November lalu, Anwar jarang sekali mengeluarkan kenyataan rasmi atau memberikan kata-kata semangat kepada penyokong-penyokongnya. Beliau juga tidak mengulas kenyataan-kenyataan pemimpin Umno, tidak seperti sebelum pilihan raya dan pada awal-awal perbicaraan kes liwatnya.