Perhimpunan rakyat yang dijadual diadakan di perkarangan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Sabtu ini bagi membantah keputusan pilihanraya umum pada 21 Mac lalu, telah ditangguhkan.

Menurut kenyataan Badan Bertindak Penyelewengan PRU-11 Barisan Alternatif (BA), perhimpunan itu terpaksa ditangguh dan meminta rakyat supaya bersabar.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab-sebab mengapa penangguhan itu dibuat.

Sementara itu, timbalan pengerusi badan berkenaan, Abdul Rahman Othman berkata, tarikh perhimpunan itu akan dipindahkan ke tarikh pihaknya mengemukakan saman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kerajaan Barisan Nasional berhubung keputusan pilihanraya umum 2004.

Ketika dihubungi malaysiakini petang ini, beliau berkata, para peguam yang mewakili badan tersebut akan menentukan tarikh yang sesuai untuk mengemukakan saman tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, majlis Ceramah Perdana di Markas PAS di Taman Melewar Sabtu ini, akan diteruskan sepertimana yang dijadualkan.

Petisyen

Antara pemimpin BA yang dijadual berucap di majlis itu ialah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam, Abdul Rahman ( gambar, kanan ) memberitahu, pemimpin PAS dan Keadilan akan mengadakan perjumpaan dengan calon-calon pilihanraya parti masing-masing esok dan Ahad ini untuk berbincang mengenai petisyen pilihanraya yang akan dikemukakan nanti.

Perjumpaan itu juga akan menentukan jumlah petisyen yang bakal dikemukakan berhubung keputusan pilihanraya umum yang baru lalu.

Semua pihak yang tidak berpuashati mempunyai tempoh selama 21 untuk mengemukakan petisyen masing-masing, selepas keputusan pilihanraya umum tersebut diwartakan Isnin lalu.