Abdul Ghani tidak akan angkat sumpah YDP MPSP esok
Pegawai Daerah Seberang Perai Utara Datuk Abdul Ghani Ariffin tidak akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) esok sepertimana yang diarahkan dalam surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diterimanya Isnin lepas.
Pegawai Daerah Seberang Perai Utara Datuk Abdul Ghani Ariffin tidak akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) esok sepertimana yang diarahkan dalam surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diterimanya Isnin lepas.
Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata perkara itu telahpun dimaklumkan kepada Abdul Ghani dan juga JPA pagi ini.
Manakala Abdul Ghani ketika dihubungi Bernama , berkata beliau telah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Pengarah JPA Datuk Wahab Mulajaat menerusi telefon bahawa beliau dikekalkan sebagai Pegawai Daerah Seberang Prai Utara sehingga diberitahu kelak.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsuddin Osman (
gambar
) dilaporkan telah memberi taklimat kepada kabinet semalam mengenai kekeliruan yang timbul apabila Abdul Ghani menerima surat arahan pertukaran sebagai YDP MPSP, lima jam selepas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Mohamed Aris Ariffin, 54, dilantik kerajaan negeri dan mengangkat sumpah memangku jawatan itu.
Menurut Dr Koh, Abdul Ghani tidak akan melapor diri bertugas esok dan JPA juga mengesahkan bahawa beliau tidak akan mengangkat sumpah esok.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah Speaker dan 40 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) di Pulau Pinang hari ini, Dr Koh berkata, buat masa ini, Mohamed Aris akan memangku jawatan itu sehingga seorang YDP baru dilantik bagi menggantikan Datuk Ismail Mamat tamat perkhidmatannya pada 16 Mac lalu.
Kekal
Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai berkata Abdul Ghani akan mengangkat sumpah jawatan itu esok.
Dr Koh berkata kerajaan negeri mahu pelantikan YDP baru mengikut prosedur dan peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kerajan Tempatan 1976 dan ia belum membuat keputusan mengenai pelantikan Abdul Ghani.
"Kami telah memaklumkan kepada JPA mengenai pendirian kerajaan negeri mengenai perkara itu," katanya.
Sebelum ini, katanya, pelantikan YDP tidak menghadapi masalah kerana mereka terdiri daripada kalangan ahli politik tetapi kini prosedur harus dipatuhi berikutan calon yang akan dilantik merupakan seorang penjawat awam persekutuan.
"Dulu, kita tidak perlu rujuk kepada JPA sebab mereka yang dilantik terdiri daripada ahli politik dan kini kita terpaksa meminta JPA mencadangkan calon yang sesuai untuk jawatan itu," katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad mengenai calon berkenaan masih terletak di tangan Exco kerajaan negeri.

