Pengerusi BN Pulau Pinang yang baru dilantik, Teng Chang Yeow menolak tanggapan bahawa beliau secara automatik akan dilantik ke jawatan Ketua Menteri sekiranya parti itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Tidak semestinya perkara itu akan berlaku," kata setiausaha agung parti GERAKAN dan bekas anggota exco negeri itu.

Teng juga mengakui bahawa beliau bercadang untuk bertanding di kerusi DUN namun masih enggan mendedahkan butirannya.

Katanya lagi, soal pencalonan tersebut masih terlalu awal untuk diperkatakan kerana ia masih perlu dibincang di peringkat jawatankuasa BN negeri.

Teng berkata demikian ketika ditemui semalam selepas sesi dialog bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kira-kira 1,000 orang wakil NGO Cina di Pulau Pinang.

Antara spekulasi yang timbul kini menyebut Teng akan kembali bertanding di kerusi Padang Kota atau Machang Bubok.

Beliau sebelum ini tewas di kerusi Padang Kota kepada ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada pilihan raya 2008.

[Baca berita penuh]