Peguam Negara belum putuskan permohonan Kong Choy
Pejabat Peguam Negara masih belum memutuskan sama ada untuk menyemak atau menggugurkan tuduhan ke atas bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas terhadap permohonan melalui surat representasi yang dihantar pada 20 Mac.
Sewaktu ditanya Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim sama ada perkara itu merupakan satu petanda baik untuk anak guamnya, Tan menyetujui demikian.
"Untuk berlaku adil kepada pendakwa, mereka (juga) mungkin memerlukan lebih masa untuk mengkajinya," kata Tan lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan mengesahkan bahawa mereka masih belum membuat keputusan terhadap permohonan itu.
"Kami mahu berlaku adil kepada semua.. Justeru, kami perlu mengkaji pertuduhan bermula dari tahun 2004. Pendakwa raya perlu masa untuk masa untuk mengkaji representasi yang dihantar," katanya.
Hakim Zamani kemudiannya membenarkan semua pihak untuk bertemu kembali pada 21 Mei bagi mendengar sebarang keputusan berhubung permohonan itu.
Chan, 56, mohon dibicarakan atas tiga tuduhan menipu perdana menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan memperdayanya meluluskan Kuala Dimensi Sdn Bhd sebagai pemaju utama bagi memajukan projek pusat trans-penghantaran di Zon Bebas Cukai Pulau Indah, dan kerja pengubahsuaian di tapak PKFZ di antara 2004 dan 2006 dianggarkan bernilai RM1.9 bilion.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di tingkat empat Bangunan Perdana di Kompleks Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

