Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga emas kecewa bantuan JKM ditarik balik
Diterbitkan:  Apr 23, 2012 2:03 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Dua warga emas yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melahirkan rasa terkilan kerana bantuan tersebut sebanyak RM300 sebulan telah ditarik balik.

    

Esah @ Adoyah Mee @ Ghazali, 65, berkata dia menerimanya sejak 10 tahun lalu.

    

"Pada mulanya bantuan saya dipotong kepada RM100 sebulan kerana dikatakan hanya tinggal seorang sahaja anak saya yang bersekolah. Tapi selepas anak bongsu saya tamat belajar dan melanjutkan pelajaran di universiti dua tahun lepas, mereka potong semua bantuan dengan alasan saya sudah tidak ada anak yang bersekolah," katanya yang tinggal di Kampung Tok Keling dekat Alor Setar.

    

Katanya dia kecewa kerana dia juga mempunyai anak yang cacat selain dia merupakan ibu tunggal.

    

"Walaupun anak-anak saya sudah bekerja tetapi pendapatan mereka juga tidak banyak, hanya cukup untuk menyara keluarga mereka sendiri," katanya.

    

Ku Jiwa Ku Hamid, 88, berkata dia menerima bantuan sejak dua tahun lalu.

    

"Tapi minggu lepas bila anak makcik pergi ambil duit di pejabat JKM, mereka kata itu bantuan terakhir kerana bulan depan bantuan akan dipotong. Mereka juga ambil Kad JKM makcik," katanya.

    

Dia berkata pegawai JKM memberitahunya mereka perlu menamatkan bantuan kerana dia mempunyai anak lelaki yang boleh menyaranya.

    

"Makcik memang ada anak lelaki tetapi dia hanya kerja potong rumput. Setiap bulan dia dapat kira-kira RM500. Duit itu tidak cukup untuk sara kami sekeluarga. Isterinya tidak bekerja dan anak-anak dia masih lagi bersekolah," kata Ku Jiwa.

    

Ketika dihubungi, Pegawai JKM Kota Setar, Mat Isa Ahmad menjelaskan penarikan balik bantuan kepada Esah ialah kerana anak-anaknya telah melepasi umur 18 tahun.

"Esah menerima bantuan kanak-kanak. Jadi bila anak-anaknya sudah melepasi umur 18 tahun, kita perlu menarik semula bantuan itu," katanya yang menyarankan supaya Esah memohon semula bantuan untuk anak kurang upaya.

    

Beliau berkata bagi kes Ku Jiwa, pihaknya akan menyemak semula status penerima tersebut kerana berdasarkan pendapatan isi rumah Ku Jiwa, dia layak mendapat bantuan tersebut.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS