Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DBKL tawar tiga stadium untuk himpunan 28 April
Diterbitkan:  Apr 23, 2012 4:34 PM
Dikemaskini: 4:45 PM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan tiga buah stadium di sekitar ibu negara sebagai alternatif kepada larangan menggunakan Dataran Merdeka bagi sebarang aktiviti perhimpunan yang akan diadakan sebuah badan NGO disokong pembangkang pada Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata tiga buah stadium itu ialah Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

"Penganjur perhimpunan aman boleh memohon kepada kami untuk menggunakan stadium-stadium ini sebagai alternatif kepada Dataran Merdeka yang memang sudah termaktub dalam Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka)(Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 tidak boleh digunakan sebagai tempat berhimpun.

"Malah penggunaan Dataran Merdeka hanya boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi acara-acara kerakyatan seperti permulaan sebarang acara sukan ataupun kebudayaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keputusan tersebut juga dibuat berdasarkan peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang tidak menyenaraikan Dataran Merdeka untuk digunakan sebagai lokasi perhimpunan yang bermotifkan politik.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, beliau tidak menghalang penganjur perhimpunan NGO itu untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Merdeka.

Namun mereka perlu membuat permohonan kepada pihak pentadbiran stadium berkenaan terlebih dahulu, katanya.  

Ahmad Fuad berkata cadangan Hishammuddin itu adalah yang terbaik memandangkan kedua-dua stadium berkenaan dapat menampung kapasiti peserta perhimpunan itu.

"Malah lokasi dan kemudahan di stadium berkenaan juga cukup baik dan ini dapat merealisasikan keinginan penganjur perhimpunan itu untuk menyuarakan isi hati mereka tanpa menyusahkan orang awam yang lain," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS