Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serangan di Dataran: Polis tahan tiga lagi suspek
Diterbitkan:  Apr 23, 2012 6:22 PM
Dikemaskini: 4:39 PM

Polis menahan tiga lagi individu yang didakwa menyerang 'perkhemahan' aktivis yang menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma pada awal pagi Khamis lalu.

 

Jumlah itu menjadikan kesemuanya empat orang ditahan polis setakat ini berhubung insiden serangan yang menyebabkan kecederaan ke atas siswa berkenaan.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh ketiga-tiga lelaki itu ditahan di Subang Jaya dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh).

Dalam satu kenyataannya hari ini, Mohmad berkata pihak polis telah memperolehi perintah reman sehingga 25 April ini.  

 

Katanya, dua daripada suspek berkenaan daripada Kampung Kebun, Kelang masing-masing merupakan seorang tukang kimpal berusia 30 tahun dan seorang penganggur berusia 28 tahun.

 

Seorang lagi suspek, daripada Kampung Pandan Klang merupakan seorang penganggur berusia 29 tahun.

Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seorang siswa cedera apabila kumpulan yang berkhemah di Dataran Merdeka diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.

 

Saksi berkata kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu  kumpulan siswa berkenaan dalam kejadian bermula kira-kira jam 2.45 pagi.

 

Koordinator Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Heng Kiah Chun memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan tersebut kemudiannya mengasari siswa berkenaan dan turut merobohkan khemah mereka.

Pelajar yang mengalami kecederaan itu dibawa ke hospital.

 

Kumpulan berkenaan juga naik berang apabila pelajar berkenaan cuba merakam insiden itu menggunakan kamera dan telefon bimbit serta merosakkan sebahagian daripada alat rakaman tersebut.

ADS