Seorang pengarah di sebuah syarikat berkaitan minyak dan gas Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap dua tuduhan menipu sebuah bank bagi mendapatkan kemudahan kredit membabitkan hampir RM20 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Ng Huat Jian, 50, yang merupakan pengarah syarikat Oil-Line Engeneering & Associates Sdn Bhd didakwa menipu Bank Islam Malaysia Berhad dengan mengemukakan dokumen-dokumen palsu sehingga mendorong bank itu memberi kemudahan kredit berjumlah RM1,350,000 kepada syarikat tersebut.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu ibu pejabat bank berkenaan pada 9 Februari 2009 hingga 23 April 2009.

Bagi pertuduhan kedua Ng didakwa menipu bank tersebut dengan mengemukakan dokumen-dokumen palsu sehingga mendorong bank itu memberi kemudahan kredit berjumlah RM18,639,536.47 kepada syarikat itu.

Ng didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 26 Disember 2008 hingga 28 April 2009.

- Bernama