Pakatan-BN digesa kerjasama isu Orang Asli
Masyarakat Orang Asli menyokong penuh inkuiri nasional berkenaan dengan Hak Tanah Orang Asal/Asli yang akan dijalankan oleh Suruhajaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), dengan harapan perkara berkaitan hak tanah Orang Asli dapat diselesaikan.
Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid Suhut berkata isu berkenaan dengan tanah Orang Asli sudah lama berlarutan dan langkah Suhakam untuk mengadakan inkuiri itu dialu-alukan.
"Saya yang mewakili pihak Orang Asli berharap agar semua pihak tidak kiralah seperti Jabatan Peguam Negara, kerajaan negeri, pakatan pembangkang dan BN dapat bekerjasama dengan Suhakam dalam mencari titik penyelesaian isu yang berkaitan dengan kami ini," katanya kepada Bernama .
Beliau berkata pemilikan tanah adalah sangat penting kepada masyarakat Orang Asli yang merupakan nadi kehidupan mereka dalam menjana pendapatan.
Menurutnya, pewartaan tanah rizab kepada Orang Asli, khususnya tempat tinggal mereka di hutan simpan dan sebagainya juga menentukan hidup dan mati mereka.
"Orang Asli ini kebanyakannya tidak ada pendidikan berbeza dengan kaum lain, jadi apabila tanah Orang Asli mendapat status 'rizab' mereka boleh mengusahakan tanah tersebut dan tidak takutlah sekiranya ia jatuh ke tangan pihak lain suatu hari nanti.
"Malah apabila kediaman Orang Asli seperti hutan simpan dan sebagainya sudah dirizabkan ke atas Orang Asli, pihak seperti Risda boleh datang membantu Orang Asli mengusahakannya dan seterusnya menambah pendapatan Orang Asli," katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Jaringan Kampung-Kampung Orang Asli Malaysia (JKOASM) Shafie Dris berkata usaha yang dibuat oleh Suhakam merupakan satu langkah dan titik perubahan kepada Orang Asli kerana ia tidak pernah dilakukan sebelum ini.
"Saya bagi pihak JKOASM menyokong penuh usaha yang dibuat oleh Suhakam, oleh itu saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama dengan mereka agar dapat menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu Orang Asli ini," katanya.
- Bernama

