Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan bahawa, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan TalentCorp akan bekerjasama bagi memperkenalkan sebuah program biasiswa yang menawarkan pekerjaan kepada pelajar dalam sektor swasta.

Najib berkata, program yang diberi nama Scholar Talent Attraction and Retention (STAR) dan Talent Acceleration in Public Service (TAPS) bertujuan bagi meningkat sistem penajaan biasiswa kepada pelajar dalam negara.

"Dengan kerjasama ini, saya yakin JPA dan TalentCorp akan dikenali dan berkembang di negara ini serta menjadi saluran yang kukuh bagi penerima biasiswa yang cemerlang untuk meneruskan dan memperkukuhkan lagi Program Transformasi Ekonomi Baru (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya pada ucapan perasmian Talent Roadmap 2020 di Putrajaya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Selain itu, Najib berkata, penerima biasiswa bagi pelajar universiti turut akan diberi selepas mereka tamat pengajian.

Katanya, penerima biasiswa bagaimanapun, perlu terlebih dahulu berjumpa dengan individu yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal pekerjaan dalam sektor awam dan swasta.

"Mereka perlu bertemu dan memenuhi obligasi bon yang menguruskan pekerjaan sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta yang diluluskan di Malaysia," katanya.

Selain itu, Najib turut berkata, pengumuman yang dilakukan sebelum ini oleh kerajaan untuk memberi biasiswa kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2011 yang memperolehi keputusan 9A dan ke atas akan diteruskan.

Katanya, selain memberi biasiswa, pelajar tersebut turut akan diserapkan ke dalam universiti bagi memberi pendedahan awal kepada mereka.

"Kerajaan komited bagi mengenalpasti dan membuat pelaburan terhadap generasi masa hadapan bagi memastikan potensi mereka diketahui," katanya.