Kerabat Kedah: Kerajaan negeri rampas tanah kami
Dua kerabat diraja Kedah mendakwa kerajaan negeri merampas tanah mereka dan pampasan yang diberikan tidak sepadan dengan harga pasaran semasa.
Mereka juga mendakwa pampasan yang diberikan tidak mengambil kira bangunan yang sudah hampir separuh siap dibina di atas tanah itu.
Tunku Mohd Saad Mansur dan adiknya Tunku Mohd Taufek Mansur mendakwa kerajaan negeri mengambil lot tanah mereka dan lot bersebelahannya sekitar November 2011, kerana percaya pembangunan di atas tanah itu terbengkalai.
Bagaimana pun, Saad menjelaskan bahawa tiada sebarang pembangunan dibenarkan di atas tanah itu kerana terdapat perintah mahkamah melarang tindakan itu disebabkan kes mahkamah di antara pemaju dan keluarga kerabat yang berlanjutan selama 18 tahun.
Mereka memenangi kes itu pada Disember 2010 dan bercadang untuk meneruskan pembangunan di atas tanah tersebut sewaktu kerajaan negeri mengambilnya dan memusnahkan bangunan di atas tanah itu yang sudah siap 60 peratus.
Menurut mereka tanah itu kini sebahagian daripada projek usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Belleview seluas 17 ekar dan ia akan menjadi 'hab gaya hidup' yang menggabungkan pusat membeli-belah, hotel dan dewan persidangan.

