Penyokong PAS berdemo desak k'jaan T'ganu selesai tanah
Penyokong PAS mengadakan demonstrasi di luar bangunan Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu ketika sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung, lapor Bernama.
Demonstrasi kira-kira sejam itu bagi menyerahkan memorandum berkaitan tanah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Terengganu Satiful Bahri Mamat berkata antara isi kandungan memorandum berkenaan meminta agar tanah yang didakwa diambil kerajaan negeri dikembalikan kepada rakyat, antaranya tanah di Tepoh di Kuala Terengganu, Paka, Dungun dan di Permaisuri, Setiu.
Ahmad Said yang ditemui pemberita berkata beliau menerima memorandum itu kira-kira jam 11 pagi daripada 15 wakil parti pembangkang itu.
Menteri besar bagaimanapun berkata dakwaan sekumpulan penyokong PAS bahawa kerajaan negeri merampas tanah rakyat adalah tidak benar sama sekali.
"Ia tidak betul, kita sudah semak tanah yang dikatakan dirampas kerajaan Barisan Nasional (BN), contohnya tanah tapak Sekolah Rendah Islam Darul Bayan, Paka, Dungun. Tanah berkenaan asalnya satu lot tanah seorang pemimpin Umno. Kemudian pemimpin itu minta satu lot lagi, tetapi ia ditolak oleh kerajaan BN pada masa itu.
"Bila tanah itu kosong, ketika PAS menang pilihan raya umum 1999 di Terengganu, ia dipohon oleh orang PAS untuk buat sekolah sebagai tanah tol iaitu tanah milik sementara. Sebagai tanah tol, pemilikan itu perlu disambung dari setahun ke setahun," katanya.
Bagaimanapun, katanya, pada 2004 apabila Terengganu diperintah semula oleh kerajaan BN, individu berkenaan tidak menyambung pemilikannya ke atas tanah itu.
"Ia kemudiannya dimohon oleh orang lain sebagai tanah milikan tetap dan kerajaan membenarkan ia dijadikan tanah lot dengan lima geran yang sah dikeluarkan kepada lima pemohon berkenaan," katanya.
Ahmad berkata kumpulan berkenaan juga tidak puas hati dengan pengambilan balik tanah di Kampung Banggol Donas melibatkan pembinaan jalan baru dari Kampung Banggol Tuan Muda ke Gemuruh.
Beliau berkata kerajaan telah membayar pampasan selain menyediakan tapak rumah baru untuk mereka sebagai ganti tapak lama.
"Orang lain yang terlibat semuanya sudah berpindah, hanya sekelompok 20 orang PAS ini yang tidak mahu pindah. Takkan kerana dia tak mahu pindah menyebabkan pembinaan jalan lebih RM200 juta terbengkalai," katanya.
- Bernama

