Bantahan tol lebuhraya NPE diteruskan minggu depan
Jawatankuasa Tindakan DAP bagi Lebuhraya Baru Pantai (NPE) serta penduduk di sekitar lebuhraya tersebut sekali lagi berkumpul di Plaza Tol PJS 2 di Petaling Jaya Sabtu lalu kerana membantah kutipan tol di situ.
Jawatankuasa Tindakan DAP bagi Lebuhraya Baru Pantai (NPE) serta penduduk di sekitar lebuhraya tersebut sekali lagi berkumpul di Plaza Tol PJS 2 di Petaling Jaya Sabtu lalu kerana membantah kutipan tol di situ.
Menurut penasihat jawatankuasa bertindak tersebut, Ong Chee Keng, bantahan yang sama akan diteruskan lagi pada hari Sabtu dan Ahad depan untuk memberi tekanan kepada kerajaan dan NPE supaya menurun atau menghapuskan kutipan tol tersebut, yang mereka kata tidak adil.
Sambil menyeru semua penduduk di sekitar NPE supaya turut menyertai bantahan tersebut, beliau berkata, Kementerian Kerjaraya perlu mengumumkan kos pembinaan NPE secara terperinci supaya rakyat tahu kos sebenarnya membina lebuhraya tersebut.
"Ini memandangkan kementerian tersebut menyatakan bahawa kadar tol yang tinggi di NPE adalah disebabkan oleh masalah penangguhan kerja-kerja pembinaan dan pembinaan lebih raya bertingkat.
"DAP berpendapat rakyat, khususnya pengguna NPE berhak mengetahuinya sebagai melaksanakan kuasa mereka sebagai pengguna," kata Ong dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak berkenaan mempunyai tanggungjawab untuk membina jalan raya dan lebuh raya di mana-mana kawasan perumahan, perindustrian dan perdagangan yang dibangunkan.
Oleh itu, katanya, adalah tidak munasabah bagi kerajaan beranggapan bahawa jalan raya dan lebuh raya wajar dibina oleh syarikat swasta yang kemudiannya mengutip top secara tidak adil dan munasabah daripada penduduk dan pengguna.
Pampasan
"Sebenarnya, kerajaan sendiri yang harus memikul tanggungjawab dan tidak boleh menyerahkan tugas ini kepada pihak swasta," katanya.
Ong bimbang sekiranya ini berterusan, lebuh raya yang dibina di sekitar Lembah Kelang akan menjadi lebuh raya bertol.
"Dalam kes NPE ini, rakyat perlu tahu sama ada mereka yang perlu menanggung kesilapan (penangguhan tempoh tamat kerja dan pembinaan lebih raya bertingkat) dengan membayar tol yang lebih tinggi, sedangkan puncanya disebabkan oleh kementerian dan syarikat swasta?
Oleh itu, katanya, pihak kementerian dan syarikat berkenaan perlu memberi penjelasan mengenai berapa banyakkah peruntukan tambahan dikeluar untuk membina lebih raya tersebut.
"Dan sekiranya NPE dapat dibina tepat pada waktunya dan pembinaan lebuhraya bertingkat dapat diturunkan ke paras paling rendah, berapa pula wang yang dapat dijimatkan dan apakah tol yang akan dikenakan kepada pengguna?" tegasnya.
Ong menegaskan perlunya bagi kedua-dua pihak berkenaan memperjelaskan perkara itu dengan lebih terperinci supaya tidak akan timbul sebarang salah faham mengenainya.
"Dalam pada itu, kami juga mengingatkan kerajaan supaya tidak membuat bayaran gantirugi kepada syarikat terbabit apabila bersetuju untuk menurunkan kadar tol, kerana wang kerajaan juga adalah wang rakyat," tambahnya.
Lebuhraya sejauh 19.6 kilometer itu dibina dengan kos RM1.36 bilion dan telah dibuka kepada umum pada 1 Mac, tetapi kutipan tol sebanyak RM1.60 untuk kereta hanya berkuatkuasa mulai 2 April.

