Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
Khairy mahu liputan adil untuk semua calon, parti

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyetujui saranan agar media arus perdana memberi liputan sama rata kepada parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

 

"Saya sokong semua parti mendapat masa (siaran) yang sama di semua media nasional, RTM, TV3, media utama untuk memberitahu rakyat polisi dan manifesto mereka," katanya.

Kenyataannya itu menerima tepukan gemuruh oleh kira-kira 600 orang yang hadir dalam program debat yang diatur antara beliau dan pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu akses media – salah satu daripada lapan tuntutan utama gabungan untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil itu.

NONE Perkara itu juga merupakan salah satu daripada 22 syor yang oleh jawatankuasa terpilih parlimen untuk menambah baik pilihan raya, setelah mengambil kira kesediaan kementerian penerangan untuk memberi akses adil kepada parti dan calon yang bertanding.

Bercakap dalam program di The Club, Bukit Utama Golf Course itu, Khairy turut menjelaskan kenyataannya bahawa SPR tidak bertindak sesuka hati dalam memindahkan pengundi.

Jelasnya, SPR meletakkan pengundi berkenaan di tempat yang betul selepas persempadanan semula, seperti dalam kes melibatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Kenyataannya itu mengundang soalan lanjut daripada aktivis teater dan penulis, Kee Tuan Chye yang meminta Khairy menjelaskan tindakan SPR memindahkan alamat mengundi seorang individu dari Damansara Jaya ke Kuala Kangsar, Perak.

Mengulas soalan itu, Khairy berkata beliau tidak dapat menjelaskan perkara yang dibangkitkan itu kerana 'ia bukti baru'.

 

Seorang anggota jawatankuasa BERSIH, Wong Chin Huat turut mengemukakan soalan kepada Khairy sama ada proses persempadanan semula oleh SPR dibuat untuk memastikan kawasan mengundi mempunyai jumlah penduduk seimbang.

Dalam penjelasannya, Khairy berkata secara asasnya beliau bersetuju dengan tujuan berkenaan, namun perkara itu agak sukar dilaksanakan.