Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyambut baik pertandingan terbuka untuk tiga jawatan naib presiden pada pemilihan Umno tahun ini.

"Ia, patut ada pemilihan terbuka, sesiapa yang berminat untuk bertanding jawatan itu wajar diberi galakan, patut dibenarkan berbuat demikian," katanya dalam temubual dengan Channel News Asia malam ini.

Penyandang bagi jawatan naib presiden Umno sekarang ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Bagaimanapun, berikutan perlantikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri, maka juga dijangka dicalonkan untuk mengisi jawatan timbalan presiden Umno.

Manakala Muhd Taib pula dikhabarkan mungkin tidak mempertahankan jawatannya itu kerana dijangka dilantik sebagai setiausaha agung Umno yang baru.

Berikutan itu, akan wujudkan dua kekosongan bagi jawatan berkenaan yang bakal menjadi rebutan pemimpin Umno dalam pemilihan parti itu yang dijangka diadakan September depan.

Antara nama-nama disebut berminat untuk bertanding merebut jawatan tersebut ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman. Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein juga disebut mungkin turut dicalon untuk jawatan naib presiden.

Berkredibiliti

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bernama memetik Abdullah berkata: "Kita sentiasa mengalu-alukan mereka yang sedia untuk berkhidmat, yang mampu untuk memberi perkhidmatan dan mereka yang boleh mencari masa untuk berkhidmat... dan mereka yang berkredibiliti."

Perdana Menteri Malaysia itu menjelaskan mengapa tidak wajar ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti.

"Adalah baik jika kedua-dua jawatan tertinggi parti tidak ditandingi. Ia akan membantu memperkukuhkan perpaduan dan mengelak perpecahan," katanya.

Mengenai tambatan Ringgit Malaysia kepada dollar Amerika Syarikat, beliau berkata ia kini kekal pada kadar tambatan semasa RM3.80 kepada satu dollar Amerika.

"Selagi tambatan ringgit itu mewujudkan kestabilan dan perdagangan kita tidak terjejas, pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tidak terbantut, kita patut teruskan dengan tambatan itu.

"Namun pada masa yang sama, kami yakin kita tidak boleh bersifat dogmatik dan tegar dengannya. Oleh itu, kita mesti terus memantau keadaan kewangan global. Jika ada sebab perlu untuk membuat pengubah suaian, mungkin kita akan memikirkannya semula. Pada masa ini saya tidak fikir tambatan ringgit itu perlu diubah," kata Abdullah.

Tambatan ringgit

Langkah itu diperkenalkan semasa krisis kewangan 1998 bagi menangani spekulator mata wang.

Mengenai sama ada Malaysia tertarik untuk mengikuti langkah China jika negara itu memberi tekanan dan mengkaji semula tambatannya, Abdullah berkata: "Pastinya kita tidak mengetepikan China daripada pemantauan kita.

"Kita sentiasa memantau apa yang dilakukan oleh China, Peranan China sangat penting. Ia merupakan kuasa ekonomi yang sangat besar," kata Abdullah.

Perdana Menteri itu berkata jika China mengubah fikiran, Malaysia akan melakukan perkara yang sama.

Beijing sejak beberapa bulan ini dikritik hebat oleh Washington kerana menambat yuan China kepada dollar Amerika.

Kritik mendakwa ia menjadikan eksport China nampak murah dalam pasaran global dan memberi impak kepada pekerjaan di Amerika.

Yuan naik pada Isnin terhadap dollar Amerika, dijana oleh ulasan pada hujung minggu daripada Gabenor "People's Bank of China" Zhou Xiaochuan, yang mengatakan perubahan regim itu sedang difikirkan.