Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Badrul Hisham Shaharin menafikan dakwaan Ketua Polis Dang Wangi Hadi Ho bahawa aktivis reformasi yang menyertai perhimpunan Black 14 Sabtu lalu, ditangkap kerana mengengkari arahan polis supaya bersurai.

Sebaliknya, beliau mendakwa, sebaik sahaja tiba di tempat perhimpunan itu di perkarangan pejabat Suhakam, Hadi terus mengarahkan kira-kira 200 orang yang berkumpul di situ supaya bersurai.

Katanya, aktivis reformasi berkumpul pada hari berkenaan secara aman untuk mengenang titik hitam sejarah negara apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan penjara bagi tuduhan salahguna kuasa pada 14 April 1999.

Dalam satu kenyataannya, Badrul Hisham mendakwa, belum pun sempat mereka bersurai, anggota polis terus menyerbu dan mengkasari serta menahan beberapa orang aktivis di situ.

Katanya, beliau sendiri terjatuh di jalanraya mengakibatkan cermin matanya patah dan calar di tangan dan muka.

Sehubungan itu, beliau menafikan laporan Bernama yang memetik Hadi sebagai berkata mereka ditangkap kerana enggan bersurai apabila diberikan arahan berbuat demikian.

Dikurung

Sebaliknya, Badrul Hisham mendakwa Hadi memberi arahan yang tidak jelas dan tidak langsung memberikan peluang untuk mereka bersurai.

Malah, katanya, mereka yang ditahan dilemparkan kata-kata kesat semasa dibawa ke trak untuk dibawa ke balai polis Tun HS Lee.

"Sampai di Balai Polis Tun HS Lee, kami (15 orang termasuk dua wanita) telah dikurung dalam trak polis dengan kanvas tertutup, hanya ada lubang angin yang kecil.

"Keadaan sangat panas hingga ada yang sesak nafas. Hanya selepas hujan lebat baru kami dibenarkan turun. Setelah sesi soal siasat selama 4 jam, baru kami dibebaskan dengan ikat jamin," tambahnya.

Menurut laporan akhbar , kata Badrul Hisham, selepas disuraikan secara kasar, aktivis berkenaan, telah berjaya berkumpul semula dengan lebih ramai di Jalan Tunku Abdul Rahman pada petang hari yang sama.

"Ini sebagai bukti, walaupun telah lebih lima tahun, namun kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar tidak sama sekali dilupakan oleh rakyat," katanya.

Menurutnya lagi, negara akan sekali lagi menyaksikan perhimpunan rakyat yang besar apabila Anwar dibawa ke Istana Keadilan di Putrajaya, pada 10 Mei ini.

"Walau apapun yang dilakukan, ia tidak mungkin melunturkan semangat rakyat menuntut Reformasi," katanya.