Najib nasihat wakil rakyat BN jangan jadi Pak Turut
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Tun Razak hari ini mengingatkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa mereka bukanlah pemimpin popular yang hanya mengikut telunjuk orang lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Tun Razak hari ini mengingatkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bahawa mereka bukanlah pemimpin popular yang hanya mengikut telunjuk orang lain.
Sebaliknya kata beliau, mereka hendaklah menjadi pemangkin perubahan dan pembangunan serta mempunyai legasi yang boleh ditinggalkan kepada rakyat, walaupun hanya berkhidmat sepenggal sahaja.
"Kita hendaklah beri pancing dan mata kail dan bukannya ikan supaya rakyat boleh berdikari. Dengan cara itu kita boleh membuat perubahan dalam kawasan (yang diwakili)," katanya ketika menutup seminar anggota Parlimen kerajaan di INTAN, Bukit Kiara di sini.
Seminar tersebut dirasmikan semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut melancarkan Kod Etika yang perlu dipatuhi oleh semua ahli Parlimen BN.
Najib, yang telah menjadi anggota Parlimen sejak berumur 23 tahun, dilantik oleh Abdullah sebagai Timbalan Perdana Menteri beberapa bulan selepas beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada Oktober tahun lalu.
Petua
Najib turut menggariskan beberapa faktor asas bagaimana seseorang ahli Parlimen BN itu dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Ia termasuk bekerja kuat, amanah, jujur dan ikhlas yang perlu menjadi pegangan setiap ahli Parlimen BN untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Menurut Najib, rakyat mempunyai harapan amat tinggi terhadap kerajaan BN yang telah mencapai kemenangan besar pada pilihanraya umum ke-11 pada 21 Mac lalu.
Oleh itu, katanya, semua ahli BN menyambut kemenangan cemerlang itu dengan rendah diri dan menganggapnya satu amanah rakyat yang mesti dilaksanakan dengan baik,
"Ia satu kemenangan yang menakjubkan dan mencatat sejarah tanahair kerana satu daripada fakta (kemenangan) ialah rakyat bersetuju dengan cara kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Bila dah menang cemerlang sudah tentu pengharapan rakyat yang sangat tinggi perlu dipenuhi dan ditangani oleh ahli Parlimen BN. Dengan harapan yang tinggi ini dan cukup luar biasa, kita mestilah lebih bersedia, cekal, lebih terancang dan menguatkan azam untuk menunaikan harapan rakyat," katanya.
Sokongan
Menurut Najib lagi, kejayaan BN memenangi 198 daripada 219 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, tidak mungkin menjadi kenyataan jika kecenderungan sokongan tidak memihak kepada BN, berbanding dengan pilihanraya lalu yang membolehkan PAS menguasai Kelantan dan Terengganu.
Beliau juga menasihatkan ahli BN supaya sentiasa turun padang menemui rakyat untuk mengambil tahu dan menyelesaikan masalah mereka.
"Bagi yang tinggal di luar kawasan, mereka hendaklah menetapkan jadual untuk balik ke kawasan bagi menemui rakyat," katanya.
Katanya, mereka tidak boleh taksub dengan gelaran "Yang Berhormat" dan membawa imej ego dan sombong tetapi mestilah mempunyai penampilan diri dan imej mesra rakyat serta disenangi rakyat.
"Kita boleh melakukannya (mesra rakyat). Saya bercakap kerana saya ada pengalaman. Pada pilihanraya 1999, saya hanya menang majoriti 241 undi tetapi pada pilihanraya yang baru lalu, saya mendapat majoriti lebih 22,000 undi. Jadi bila kita mesra rakyat, rakyat akan beri kemenangan kepada kita," katanya.
Najib, yang juga ketua `whip' di Parlimen, menyarankan diadakan satu perbincangan bagaimana kerajaan boleh melaksanakan tanggungjawab dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

