Gambar kerosakan ke atas sebuah kenderaan polis menjadi hiasan utama akhbar hari ini yang turut menyalahkan pemimpin PKR atas perhimpunan aman BERSIH 3.0 semalam yang berakhir sebaliknya.

Akhbar Mingguan Malaysia dan Sunday Star melaporkan, ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalan presiden Azmin Ali melakukan melakukan provokasi supaya peserta berkenaan melanggar perintah ahkamah dan memasuki kawasan Dataran Merdeka.

NONE Laporan berkenaan memetik ucapan Anwar yang menggesa peserta berkenaan supaya "mara ke Dataran walau apa pun" dan Azmin juga dilaporkan menyeru peserta berkenaan supaya "masuk ke Dataran Merdeka walau apa juga keadaan yang berlaku."

Laporan Sunday Star menyebut, keadaan menjadi tidak terkawal selepas ucapan berkenaan, walau pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga dalam ucapan sebelumnya meminta peserta supaya bersurai.

Sekumpulan besar peserta berkenaan kemudiannya melanggar sekatan polis dan bergerak menuju ke Dataran Merdeka sejurus ketibaan Anwar ke kawasan perhimpunan di Jalan Raja itu, lapor akhbar itu lagi.

Akhbar Mingguan Malaysia turut melaporkan bahawa akbar tersebut difahamkan bahawa ahli PAS diberi amanat untuk menawan Dataran walau apa cara sekalipun.

Laporan akhbar arus perdana hari ini juga memberi fokus utama ke atas insiden keganasan yang berlaku selepas jam 3 petang dengan foto berhubung kerosakan harta, sampah sarap dan juga tindakan peserta berpakaian kuning yang didakwa membaling objek dan merosakkan kenderaan polis.

NONE Laporan itu termasuk insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahman melibatkan kenderaan polis yang melanggar dua orang peserta dan menyebabkan kumpulan peserta berkenaan memukul seorang anggota polis di dalam kenderaan tersebut.

Satu video daripada saksi bagaimanapun menunjukkan seorang peserta berkenaan cuba menyelamatkan anggota polis berkenaan daripada terus diserang, selain memberi perlindungan kepada seorang lagi pegawai polis.

Akhbar berkenaan turut melaporkan bahawa peserta demostrasi berkenaan marah dan bertindak menterbalikkan kereta polis tersebut.

Bagaimanapun, rakaman video peserta perhimpunan menunjukkan bahawa peserta berkenaan mengangkan kenderaan itu daripada satu sisi kerana menyangka seorang peserta terperangkap di bawah kereta tersebut.

Berita Minggu melaporkan bahawa 11 anggota polis mengalami kecederaan dipercayai akibat serangan peserta perhimpunan.

NONE Bagaimanapun, laporan yang menyebut mengenai serangan polis ke atas peserta perhimpunan dan juga tindakan menghalang wartawan daripada merakam insiden berkenaan tidak dilaporkan.

Seorang jurukamera Al Hijrah Mohd Azri Mohd Salle, yang cuba mempertahankan anggota polis dalam insiden di Jalan Tuanku Abdul Rahamn, mendapat liputan meluas media berkenaan.

Mingguan Malaysia juga menyiarkan foto seorang jurugambar Malay Mail , Muhamad Arif Kartono, dengan tajuk "petugas media turut jadi mangsa penyokong BERSIH."

Akhbar berkenaan melaporkan demikian walau pengarang Malay Mail , Terence Fernandez semalam mengesahkan bahawa Muhamad Arif tidak diserang peserta perhimpunan tetapi sebaliknya oleh beberapa pegawai polis beruniform yang turut merosakkan kameranya.

Sementara itu, Sunday Star melaporkan bahawa Hospilta Kuala Lumpur mengesahkan bahawa seorang lelaki 65 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung pada kira-kira jam 11 pagi dalam kejadian di Jalan Petaling.

Laporan itu juga menyebut, serama 65 orang termasuk dua anggota polis menerima rawatan di hospital tersebut.