Bantahan BERSIH 3.0 Sabtu lalu - perhimpunan awam terbesar sejak gerakan Reformasi tahun 1999 - berhasrat untuk menumbangkan kerajaan, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pembangkang tahu bahawa melalui proses pilihan raya, rakyat tidak akan memberikan mereka kuasa untuk membentuk kerajaan.

Satu-satu caranya, kata beliau, ialah melalui kebangkitan rakyat untuk menumbangkan kerajaan dan menaikkan diri mereka sebagai rejim baru.

Dr Mahathir berkata demikian di majlis pelancaran versi Melayu buku memoir Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad' di Putrajaya petang ini.

Protes itu, katanya, adalah untuk menyebabkan ketidakstabilan negara bagi mewujudkan keperluan untuk menukar rejim dengan bantuan kuasa asing.

"Gangguan itu adalah kerana mereka mahu menunjukkan bahawa negara itu diperintah oleh diktator... Mereka akan gembira jika orang asing bawa pesawat dan bom Kuala Lumpur. Mereka akan berkata 'saya telah melakukan satu perkara yang baik untuk negara ini'," katanya sambil menambah bahawa itulah pembangkang dan gerakan BERSIH.

Di negara-negara di mana kerajaannya telah digulingkan, kata beliau, 99.9 peratus undi diperolehi oleh penyandang dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, tidak begitu halnya di Malaysia di mana pembangkang memenangi Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan pada tahun 2008, dan Terengganu dan Sabah sebelum ini. [Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan buku bertajuk "Doktor Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad", boleh didapati di pasaran dengan

harga RM59.90.

Bercakap di majlis pelancarannya, Dr Mahathir berkata apa yang

diharapkan beliau ialah orang ramai akan gembira dan berpuas hati dengan hasil terjemahan tersebut.

Buku yang mengambil masa lapan tahun untuk dihasilkan itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd Datuk Dr Abdul Kadir Jasin.   

Abdul Kadir yang turut hadir berkata bukan mudah untuknya menterjemahkan buku itu selain berusaha mengekalkan gaya penulisan Dr Mahathir.

Katanya dalam proses menterjemahkan buku tersebut beliau mendapatkan pandangan Dr Mahathir bagi memelihara keasliannya.

"Karya terjemahan itu juga satu usaha berbaloi bagi mendekati dan meresapi jiwa rakyat Melayu untuk menyuntik semangat dan berkongsi kekayaan pengetahuan pemimpin ulung tersebut," katanya.

Memoir setebal 996 muka surat tersebut diterbitkan MPH Group Publishing mengandungi catatan cukup terperinci dan menyeluruh, menyelusuri sejarah hidup Dr Mahathir daripada kecil sehinggalah kepada kejayaannya membangunkan negara.