Pelatih PKLN dipukul kerana didakwa curi telefon bimbit
Polis menerima satu lagi laporan daripada seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cedera akibat dibelasah oleh rakan pelatihnya di sebuah kem PLKN di Pahang.
Polis menerima satu lagi laporan daripada seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang cedera akibat dibelasah oleh rakan pelatihnya di sebuah kem PLKN di Pahang.
Dalam laporannya itu, pelatih PLKN Kem Sungai Semuji Agro Resort, dekat Gambang, di Kuantan mendakwa dipukul oleh sepuluh pelatih lain semalam.
Menurut
Bernama,
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Khalid Abu Bakar berkata, kejadian pada jam 2 pagi itu menyebabkan Mohd Faizul Ahmad, 18, dari Felda Keratong 2, Muadzam Shah, Rompin mengalami lebam-lebam di sekeliling mata, dahi, rusuk dan paha kiri.
Beliau berkata berdasarkan laporan, mangsa dipukul selepas menafikan tuduhan oleh salah seorang daripada mereka berhubung kehilangan sebuah telefon bimbit yang didakwa mereka dicuri mangsa.
"Bagaimanapun, pelatih itu yang tidak berpuas hati dengan penafian mangsa, keluar dari bilik tersebut dan memanggil sembilan lagi rakannya untuk menyelongkar bilik tersebut," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Dirawat
Menurut Khalid, apabila terjumpa telefon berkenaan di bawah tilam mangsa, mereka terus menyerang dan memukulnya.
Katanya, mangsa kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada kakitangan kem berkenaan sebelum diminta membuat laporan di Balai Polis Gambang pada jam 5.45 petang.
Mangsa dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Berikutan laporan tersebut, polis menahan sepuluh pelatih terbabit pada jam 2 pagi tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh.
Sepuluh pelatih itu dijangka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan petang ini.

