RM186.4j dividen untuk peserta Felca di Pahang
Felcra memperuntukkan RM186.4 juta bagi membayar dividen kepada kira kira 20,000 pesertanya di Pahang tahun ini.
Ketua Bahagian Perladangan Felcra Pahang Berhad Mohammad Nassir Abdul Aziz berkata jumlah berkenaan meningkat berbanding tahun lepas iaitu RM147.5 juta.
"Pertambahan dividen pada tahun ini berikutan harga komoditi sawit dan getah naik di pasaran dunia.
"Selain itu kestabilan politik, serta bekerja secara berpasukan kakitangan Felcra dan mencari pasaran baru antara faktor memberikan pulangan pendapatan yang lumayan tahun ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Agihan Dividen Felcra Kerdau Berhad di Kerdau di Temerloh hari ini.
Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kerdau Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Mohammad Nassir berkata Felcra akan menggalas sepenuh tanggungjawab memajukan kawasan tanah secara lebih terancang dan menggunakan kaedah terbaik.
"Sehingga kini Felcra berjaya membangunkan kira-kira 56,000 hektar tanah di Pahang iaitu seluas 41,000 hektar ditanam kelapa sawit, manakala selebihnya ditanam getah," katanya.
Menurutnya, Pahang merupakan negeri yang mempunyai tanah yang terbanyak dimajukan Felcra setakat ini.
- Bernama

