Wakil Perdagangan Amerika Ron Kirk, yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, mengumumkan melalui satu kenyataan bahawa Malaysia akan dikeluarkan daripada senarai pemerhatian peringkat rendah negara yang melanggar hak harta intelek.

    

Kirk mengucapkan tahniah kepada Malaysia – dan Sepanyol – yang dikeluarkan daripada apa yang dikenali sebagai senarai pemerhatian "peringkat rendah" yang mengandungi 27 negara tahun ini.

    

"Saya dengan sukacita mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sepanyol dan Malaysia atas kemajuan yang dicapai hingga membolehkan mereka dikeluarkan daripada Senarai Khas 301," kata Kirk.

Negara lain yang termasuk dalam senarai itu ialah Belarus, Bolivia, Brazil, Brunei, Colombia, Costa Rica, Republik Dominica, Ecuador, Mesir Finland, Greece, Guatemala, Itali, Jamaica, Kuwait, Lubnan, Mexico, Norway, Peru, Filipina, Romania, Tajikistan, Turki, Turkmenistan, Uzbekistan dan Vietnam.

    

Menurut pejabat USTR, Malaysia dikeluarkan daripada senarai pemerhatian itu "bagi menghargai langkah yang diambilnya untuk menaingkatkan perlindungan dan penguatkuasaan berkaitan hak harta intelek dan kerana menggubal peraturan bagi melindungi data ujian farmaseutikal".

    

Walaupun negara yang tergolong dalam "senarai rendah" dengan jelas merupakan "kes yang berada di garisan sempadan" - satu eufemisme yang menunjukkan bahawa negara berkenaan boleh diletakkan dalam kumpulan negara yang mempunyai rekod bersih sekiranya mereka berusaha menghentikan pelanggaran IPR - terdapat juga 'senarai keutamaan' yang mengandungi nama negara di mana pihak yang tidak bertanggungjawab melanggar IPR dan melakukan cetak rompak secara serius dan berleluasa.

    

Senarai itu dikeluarkan hasil semakan semula yang dibuat terhadap 77 rakan perdagangan Amerika berhubung perlindungan dan penguatkuasaan IPR.

    

"Laporan Khas 301 tahun ini lebih penting daripada biasa apabila data yang dikeluarkan kerajaan Amerika baru-baru ini menunjukkan bahawa industri harta intelek menyokong hingga 40 juta peluang pekerjaan dan hingga 60 peratus eksport Amerika," kata Kirk dalam kenyataan itu.

    

Senarai berkenaan – 'keutamaan' atau 'rendah' – bukan bertujuan mengenakan penguatkuasaan atau sekatan, tetapi bertujuan untuk 'mengaibkan' kerajaan sesebuah negara untuk mendorong mereka bertindak memerangi kegiatan cetak rompak dan pelanggaran hak cipta.

- Bernama